Ghana sama tahun dengan Malaysia

Iklan
Ghana

GHANA, Guinea, Kemboja, Libya, Maghribi, Sudan dan Tunisia antara negara yang meraih kemerdekaan pada tahun 1950 hingga 1959.

Daripada jumlah tersebut, hanya Ghana berkongsi tahun kemerdekaan yang sama dengan Malaysia. Kini selepas beberapa dekad, keadaan di negara-negara berkenaan amat berbeza berbanding Malaysia kerana masih lagi mundur, dilanda kemiskinan dan perang.

Iklan
Iklan

Ghana yang dahulu dikenali sebagai Gold Coast, memperoleh kemerdekaan dari United Kingdom pada 6 Mac 1957 sekali gus menjadikannya negara sub-Sahara pertama bebas daripada pemerintahan kolonial.

Dihuni kira-kira 30 juta penduduk, negara Afrika Barat itu bersempadan dengan Togo, Cote d’Ivoire, dan Burkina Faso. Ghana merupakan negara demokrasi berperlembagaan yang dipimpin oleh seorang presiden yang juga bertindak sebagai ketua negara dan ketua kerajaan.

Iklan

Dilantik sebagai Presiden setelah memenangi pilihan raya pada tahun 2016, Presiden Akuffo-Addo berdepan cabaran dalam memenuhi janji pilihan raya termasuk membina kilang di setiap 216 daerah dalam negara itu, sebuah empangan untuk setiap kampung dan membekalkan pendidikan sekolah tinggi percuma.

Namun, kerajaannya berjaya memenuhi beberapa janji seperti menyediakan peluang bercucuk tanam untuk makanan, peluang pekerjaan dan pendidikan sekolah menengah percuma.

Iklan
Ghana

Ia juga menjadi antara tiga negara Afrika yang memiliki kebebasan bersuara dan kebebasan media, faktor sedemikian menjadikannya negara dengan modal sosial yang kukuh.

Berkongsi tahun kemerdekaan yang sama dengan Malaysia, Ghana yang juga negara membangun dilihat sedikit terkebelakang daripada beberapa segi pembangunan seperti kemudahan infrastruktur, kesihatan, kemajuan teknologi dan juga ekonomi.

Malaysia dilihat sebagai antara lubuk emas di Asia Tenggara berikutan situasi kondusif negara yang membuka peluang dan ruang pelaburan kepada semua pihak yang berminat.

Dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2018 bernilai AS$354,348 juta (RM1482.2 bilion) Malaysia berada di tangga ke-37 dunia berbanding Ghana di tangga ke-74 dunia dengan KDNK bernilai AS$65,557 juta (RM274 juta).

Sementara itu, menurut senarai Global Peace Index 2019, Malaysia menduduki tangga ke-16 sementara Ghana berada di kedudukan ke-44.

Krisis Sudan sudah berakhir?

Pada 1 Januari 1956, Sudan memperoleh kemerdekaan daripada Kondominium Anglo-Mesir sebuah kerajaan bersama British dan Mesir yang mentadbir Sudan sejak 1899-1955. Ketika itu, negara baharu itu adalah bersamaan satu pertiga daripada saiz Amerika Syarikat dan mempunyai 600 kumpulan etnik yang bertutur lebih 400 bahasa.

Bahagian utara pada masa tersebut dan hingga kini didiami majoriti penduduk Islam manakala wilayah selatan dihuni majoriti penduduk Kristian dan penganut animisme. Bermula 1930 hingga 1953, Kondominium Anglo-Mesir mentadbir bahagian utara dan selatan Sudan secara berasingan.

Sudan yang merupakan negara terbesar dan mempunyai geografi paling berbeza di Afrika dibahagikan kepada dua negara pada 2011 selepas penduduk di selatan mengundi untuk kemerdekaan. Khartoum akhirnya akur dengan tuntutan Sudan Selatan di mana penduduknya dikatakan bergelut di bawah pemerintahan Arab Muslim di bahagian utara.

Bagaimanapun, isu belum selesai terutamanya tentang hasil pendapatan minyak dan penandaan sempadan terus mencetuskan ketegangan antara Khartoum dan Juba. Sudan juga telah lama dilanda konflik yang mana negara itu pernah terjerumus dalam perang saudara utara-selatan sebanyak dua kali yang meragut sehingga 1.5 juta nyawa.

Konflik yang bermula di wilayah barat Darfur pada 2003 juga menyebabkan dua juta penduduk hilang tempat tinggal dan lebih 200,000 orang terkorban.

Pada 11 April lalu, bekas Presiden Omar al-Bashir yang memegang kuasa selama hampir tiga dekad akhirnya digulingkan tentera dan ditahan selepas protes tercetus selama beberapa bulan menuntut pengundurannya. Kini, bekas pemimpin terbabit dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Pada Sabtu lalu menyaksikan detik bersejarah peralihan kepada pemerintahan awam untuk tempoh 39 bulan di Khartoum selepas siri protes selama lapan bulan yang menyebabkan lebih 250 maut.

Libya: Dulu makmur, kini huru-hara

Libya meraih kemerdekaan daripada British pada 24 Disember 1951 iaitu enam tahun lebih awal berbanding Malaysia. Sejak itu, Libya muncul sebagai antara negara paling makmur di rantau Afrika.

Malah, Libya juga adalah penyimpan minyak terbesar dan pemain utama industri gas asli.

Kekayaan sumber mentah dimiliki negara itu sudah cukup untuk membuatkan banyak negara cemburu termasuk Amerika Syarikat (AS).

Libya

AS menggunakan pelbagai helah bagi menjatuhkan pemimpin paling berkuasa negara itu, Muammar Gaddafi.

Akhirnya atas nama demokrasi yang dilaungkan AS dan sekutunya, Gaddafi digulingkan dan dibunuh rakyatnya sendiri pada tanggal 20 Oktober 2011 di wilayah Sirte.

Kini, selepas lapan tahun pembunuhan Gaddafi, tiada siapa dapat menyangkal kenyataan bahawa negara itu mengalami huru-hara yang lebih teruk berbanding sebelumnya. Penduduk awam terpaksa berdepan situasi bekalan elektrik dicatu sehingga sembilan jam.

Selain itu, Libya juga berdepan krisis kewangan yang serius menyebabkan penduduk sukar menerima gaji dan harga barangan asas juga melambung serta kekurangan bekalan ubat. Gejala rasuah yang berleluasa juga menyebabkan kadar mata wang dinar Libya semakin lemah.

Sejak Gaddafi digulingkan, Libya diterajui oleh tujuh kerajaan tetapi masih gagal menyediakan kemudahan asas kepada rakyat negara itu apabila pengaruh kumpulan militant Daesh menular, sekali gus memburukkan lagi keadaan.

Kini, Libya dikawal dua kerajaan bermusuhan iaitu satu kerajaan dipilih secara demokratik dan beroperasi di utara manakala satu lagi kerajaan disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpusat di Tripoli.

Kemboja bagai mati hidup semula

Kemboja adalah sebuah negara yang terletak di bahagian selatan Semenanjung Indochina di Asia Tenggara. Jumlah keluasan tanahnya adalah 181,035 kilometer persegi. Ia meraih kemerdekaan daripada Perancis pada 9 November 1953. Namun, kebangkitan rejim Khmer Rouge menyebabkan rakyat negara itu mengalami penderitaan.

Kemboja

Sekurang-kurangnya 1.7 juta penduduk Kemboja dibunuh kejam oleh rejim Khmer Rouge. Kebanyakan mangsa terbunuh akibat diseksa, kelaparan, keletihan atau sakit berjangkit di kem buruh atau dipukul hingga mati.

Selepas hampir 40 tahun berakhirnya pemerintahan Khmer Rouge, Kemboja umpama mati hidup semula apabila Phnom Penh yang dulunya kota sepi kini semakin membangun sebagai salah satu bandar paling pesat membangun di Asia. Pun begitu, Kemboja masih lagi antara negara termiskin di Asia Tenggara.