WALAUPUN dipisahkan oleh Laut China Selatan, hubungan antara rakyat Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak tetap erat dan saling hormat-menghormati antara satu dengan lain.
Bukan itu sahaja, keunikan pelbagai kebudayaan dan adat resam Malaysia telah mewujudkan kesuburan warisan yang terus terpelihara hingga ke hari ini.
Dalam usaha mengenali secara lebih dekat kehidupan rakyat di Semenanjung Malaysia, satu program yang disertai penjawat awam dari Sabah dan Sarawak selama tiga malam telah diadakan baru-baru ini bagi memahami perbezaan kebudayaan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Program itu bermula dengan atur cara memperkenalkan diri oleh setiap peserta mengenai kehidupan mereka di sana. Kemudian diikuti ucapan Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya, Jabatan dan Keseniaan Negara (JKKN), Zulkarnain Ramly yang menjelaskan mengenai pelbagai kebudayaan dan adat resam di Semenanjung Malaysia.
Beliau memberitahu, walaupun kita mempunyai latarbelakang dan amalan hidup yang berbeza, tetapi apa yang penting ialah kita perlu melihat diri kita sebagai bangsa Malaysia dan bukan hanya mementingkan pada kaum sendiri.
Katanya, ‘bangsa’ selain boleh membahagikan kepada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan sebagainya, ia juga boleh digunakan untuk ‘bangsa Malaysia’.
"Sekiranya ingin memperkatakan bangsa daripada sudut sesebuah negara, biasanya ia akan memperkatakan identiti sebagai bangsa Malaysia dan bukan sebagai kaum. Misalnya jika berada di luar negara, kita akan memberitahu kita adalah bangsa Malaysia dan bukan memberitahu kaum Melayu, Cina, India atau sebagainya.
"Apakah kita mahu mengutamakan kaum masing-masing ataupun bangsa Malaysia,” katanya kepada peserta yang hadir.
Menurut Zulkarnain lagi, wujudnya amalan hidup dan adat resam adalah disebabkan apabila kita hidup secara berkumpulan, kita perlu ada peraturan agar kita mematuhinya.
"Adat resam ini sebenarnya terus berada dalam kehidupan kita. Bermula daripada kita lahir hinggalah meninggal dunia, masing-masing ada amalan hidup dan adat resam untuk kita patuhi dan turuti,” katanya.
Katanya, dalam lingkungan hidup bermasyarakat, amalannya boleh wujud antara ahli keluarga sehinggalah kepada komuniti dan negara.
"Kehidupan bersama keluarga dan saudara-mara boleh mengeratkan hubungan sesama saudara; begitu juga dalam kehidupan sebagai komuniti boleh menjamin kesejahteraan komuniti itu sendiri dan seterusnya kehidupan bersama dengan kaum yang berlainan boleh menjamin perpaduan antara kaum,” kata Zulkarnain lagi.
Beliau berkata, amalan hidup pelbagai kaum seperti bahasa, pakaian, makanan, perayaan, pertunjukan dan permainan, semuanya menyelit pengertian dan kepentingannya.
Misalnya, katanya, permainan sesuatu kaum dilihat memang mudah, sebenarnya ia kaitan dengan amalan hidup kaum itu sendiri.
"Permainan congkak adalah sejenis permainan tradisional yang mencerminkan keharmonian kerana biasanya ia dimainkan dalam rumah secara harmoni tanpa sebarang perselisihan faham,” terangnya.
Seorang peserta, Siti Nor Azmah dari kaum Orang Sungai berkata, penyertaan dalam program itu telah membolehkannya memahami dengan lebih dekat adat resam di Semenanjung Malaysia, termasuk bahasa dan jenis makanan.
Dia turut berharap mempunyai peluang untuk mengenali penduduk di negeri-negeri lain dan tinggal bersama dengan mereka supaya dapat mengalami sendiri perbezaan budaya dan cara hidup di sana.
Katanya, rasa makanan Semenanjung lebih pedas berbanding Sabah dan Sarawak menyebabkan dia masih belum dapat menyesuaikan diri lagi.