Bermalam di muzium kenali sejarah negara

Iklan
Bengkel pembuatan tengkolok.

JEMPOL - Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) mengambil pendekatan memberi peluang kepada pelajar sekolah di negeri ini merasai pengalaman bermalam di muzium di Teratak Zaba, Batu Kikir dalam usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan.

Pengarahnya, Drs. Shamsuddin Ahmad berkata, pihaknya yakin usaha itu dapat menanamkan rasa cinta dan taat setia mereka (pelajar) terhadap negara berdasarkan pameran dan artifak yang berkaitan dengan sejarah, adat dan budaya di negeri ini.

Iklan
Iklan

"Program bermalam di muzium ini disertai 95 pelajar dari 10 buah sekolah yang mana ia telah bermula sejak 2017. Bagaimana pun sebelum ini ia dijalankan di Muzium Negeri Sembilan dan kali ini berlangsung di Teratak Zaba, Batu Kikir.

Aktiviti memasak cara kampung dengan mengukur kelapa.

"Pemilihan Teratak Zaba sebagai tempat Program Bermalam Di Muzium pada tahun ini bertujuan mengambil semangat perjuangan Allahyarham Tan Sri Zainal bin Ahmad atau Pendeta Za’ba dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Dalam pada itu, katanya, LMNS dapat mempromosikan Teratak Zaba kepada para pelajar sebagai produk pelancongan yang berunsurkan keilmuan sejajar dengan ketokohan dan cendekiawan yang dimiliki oleh anak kelahiran Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir ini.

"Besar juga harapan kami pelajar dapat mencontohi dan mengetahui perjuangan Pendeta Za’ba bersama-sama dengan para pejuang yang lain menuntut kemerdekaan tanah air daripada belenggu penjajahan British pada satu ketika dahulu," katanya.

Iklan
Drs. Shamsuddin menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta.

Tambah Shamsuddin, usaha LMNS bersama Jabatan Muzium Malaysia ini juga dilihat akan melahirkan mereka yang pakar dalam bidang adat, budaya dan sejarah terutamanya yang berkaitan dengan negeri ini.

"Melalui program ini juga diharapkan akan dapat menarik minat pelajar untuk sentiasa datang ke muzium dan seterusnya menjadikan bidang pemuziuman sebagai kerjaya di masa hadapan," katanya.