BALING - Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal terbabas dan melanggar tiang eletrik di jalan Kuala Pegang- Parit Panjang berhampiran Kampung Mengkuang Masjid, hari ini.
Mangsa dikenali Mohammad Syamir Muhammad Zambri dari Kampung Mengkuang Hujung, Kuala Pegang maut di lokasi dalam kejadian jam 1.40 petang itu .
Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Mohd Yusof Shaari berkata, mangsa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Kuala Pegang menunggang motosikal jenis Honda C100 dalam perjalanan dari arah Kuala Pegang ke Parit Panjang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal secara laju sambil memerhati ekzos motosikalnya.
"Sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai tidak dapat mengawal motosikal dan terbabas melanggar tiang eletrik.
"Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani ( HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.