KUANTAN - Umat Islam di negara ini harus bersatu padu bagi mengelakkan perpecahan walaupun mempunyai fahaman politik berbeza.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah, jika masyarakat Islam berpecah-belah disebabkan politik, ia tidak menguntungkan agama Islam malah mampu membuatkan Islam menjadi lemah.
Titah baginda, umat Islam perlu saling bertoleransi dalam mewujudkan kehidupan bermasyarakat yang sejahtera sekalipun terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
"Maka untuk menyantuni masyarakat pada masa kini, perlulah kita saling memahami kelemahan dan kekuatan di antara satu sama lain dan menunjukkan akhlak yang baik sehingga mereka tertarik kepada agama Islam.
"Renungilah apa yang telah berlaku kepada puak Aus dan Khazraj. Puak yang sering bermusuhan dan sentiasa berperang. Tetapi setelah kedatangan Rasulullah, puak yang berbalah ini dapat disatukan di bawah kalimah Lailahaillallah. Umat Islam hari ini perlu bermuhasabah dengan apa yang telah berlaku kepada puak Aus dan Khazraj," titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Kira-kira 1,000 orang hadir meraikan sambutan berkenaan yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada majlis itu, bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Muhammad Abdullah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang bagi tahun 1441H/2019M.
Dalam pada itu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyeru agar umat Islam perlu menyokong produk dan barang-barang yang dihasilkan oleh orang Islam.
"Berbelanjalah di kedai orang Islam dan di pasar raya umat Islam. Ketahuilah segala perbelanjaan kita akan dikembalikan semula kepada agama Islam dengan pembayaran zakat," katanya.