SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan negara yang diurus dengan rasa kasih sayang dapat melahirkan kelompok masyarakat yang aman, maju dan sejahtera.
Menurutnya, bertepatan dengan tema Maal Hijrah tahun ini iaitu Negara Rahmah Umat Sejahtera, sebagai umat Islam, laluan ke arah rahmah dan kesatuan masyarakat dalam menentukan hala tuju kehidupan bermasyarakat perlu dibina.
"Justeru itu, kita berharap masyarakat lebih bijak membuat pertimbangan, elakkan permusuhan, buang dan benamkan semangat perkauman dan asabiyyah yang akan merosakkan ketenangan diri dan kesejahteraan negara.
"Jauhi daripada sebarang tindakan yang akan memburukkan imej Islam. Semua pihak juga diharap dapat menjadi individu yang mampu memberi manfaat kepada orang lain," katanya pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan Darul Khusus, di sini malam tadi.
Turut mencemar duli, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar berkenan berangkat ke majlis itu yang berlangsung di Masjid Negeri.
Beliau menambah, seiring dengan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-62 menerusi tema Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih, impian untuk melahirkan negara rahmah umat sejahtera dapat dicapai dengan pelaksanaan gerak kerja secara muafakat.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif McDonalds Malaysia, Azmir Jaafar diumumkan sebagai Tokoh Anugerah Korporat sempena sambutan Maal Hijrah 1441Hijrah/2019 Masihi peringkat Negeri Sembilan.
Katanya, pihaknya akan melipat gandakan usaha membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik khususnya kanak-kanak.
Anak jati kelahiran Felda Pasir Besar itu telah membuat sumbangan lebih RM300,000 kepada golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini menerusi syarikat tempat beliau berkhidmat ketika ini.