PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, penghijrahan perlu dilakukan bersama melalui pengukuhan etika dan nilai-nilai murni dalam pentadbiran dan pengurusan di negara ini.
Seri Paduka menegaskan, ia merupakan aspek yang wajar dilaksanakan kerana pembentukan sebuah negara maju tanpa budaya integriti yang tinggi adalah penghijrahan yang tempang.
"Sehubungan itu, saya menyokong usaha-usaha untuk meletakkan tadbir urus negara berasaskan kepada disiplin ilmu Maqasid Syariah. Melalui pendekatan ini penghijrahan tertinggi yang boleh dicapai adalah dengan martabatkan kebaikan dan menolak keburukan dalam setiap jiwa rakyat di negara ini."Selain itu, gagasan idea Rahmatan Lil Alamin yang diketengahkan juga boleh membawa konsep hidup bermasyarakat kepada tahap yang lebih tinggi. Konsep ini telah dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang bersifat sejagat dan rahmat untuk seluruh alam,” titah Seri Paduka pada Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Menegaskan bahawa Islam ialah agama yang menyemai kasih sayang kepada makhluk ALLAH SWT, Al-Sultan Abdullah bertitah sifat itu perlu dipupuk dalam setiap jiwa anak watan demi keharmonian dan perpaduan semua.
Titah Seri Paduka, penghijrahan negara ke tahap yang lebih tinggi akan boleh dicapai melalui pembentukan semangat toleransi dan kerjasama rakyat berbilang kaum yang menjadi asas kukuh kepada perpaduan negara.
"Namun demikian konsep ini tidak boleh diterjemahkan secara umum sehingga melanggan perintah agama. Perkara dan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran yang dituntut Islam jika ditoleransi, akan meruntuhkan benteng agama.
"Justeru dalam kita berusaha melakukan hijrah kepada hidup bermasyarakat yang lebih toleransi serta disemai dengan bunga kasih sayang. Janganlah pula kita mengabaikan tuntutan agama dan hukum Allah SWT,” titah Seri Paduka.
Menyingkap peristiwa hijrah Rasulullah SAW, Seri Paduka bertitah ia adalah lambang pengorbanan dan kejayaan yang wajar diteladani dan wajib diyakini untuk dijadikan iktibar bagi membentuk negara yang aman makmur lagi sentosa.
"Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa dan masyarakat yang berjaya sentiasa melakukan perubahan dan penghijrahan,” titah Seri Paduka.
Justeru titah Al-Sultan Abdullah lagi, bersempena Sambutan Maal Hijrah tahun ini, seluruh rakyat perlu bersama-sama berhijrah membentuk sebuah negara maju dengan asas perpaduan dan keharmonian yang utuh.
"Kita telah jauh mengorak langkah membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat. Kemerdekaan negara adalah merupakan satu nikmat dan rahmat kurniaan ALLAH SWT. Sama-samalah kita memelihara nikmat dan rahmat ini buat bekalan kepada generasi yang akan datang,” titah Seri Paduka.