RANTAU PANJANG - Sejumlah RM1.6 juta dibelanjakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bagi membantu golongan pelajar berdepan masalah kewangan menerusi pinjaman tanpa faedah sejak 2016.
Naib Presiden GPMS Malaysia, Nik Saiful Adli Burhan berkata, inisiatif itu dibuat menerusi Tabung Pendidikan Pelajar Malaysia yang diperkenalkan empat tahun lalu yang turut menyediakan bantuan dalam bentuk derma siswa untuk pelajar kurang berkemampuan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, kemudahan tersebut disediakan untuk memastikan kebajikan pendidikan pelajar di dalam atau luar negara.
"Tujuan kita wujudkan tabung ini dengan hasrat murni membantu pelajar yang mempunyai masalah kewangan yang memerlukan bantuan dengan kadar segera," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada Nor Izra Zulaikha Ismail di Kampung Telaga Mas, di sini hari ini.
Nor Izra Zulaikha, 20, merupakan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 yang memperoleh keputusan 3.92 dan bakal menyambung pengajian di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Turut hadir, Setiausaha GPMS Kelantan, Farid Asyraf Rafei dan Exco GPMS, Dr Nurul Ain Razali serta Muhammad Ameer Aizat Amran.
Mengulas mengenai sumbangan ke atas Nor Izra Zulaikha, Nik Saiful Adli berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan beban pelajar berkenaan.