KUANTAN -"Wehhh...air dalam," itu perkataan yang sempat diungkapkan oleh Muhammad Dzulhaziqi Mohd Azmi, 19, sebelum tenggelam dibawa arus dan ditemui lemas di Air Terjun Berkelah, di sini pagi tadi.
Turut terkorban bersama mangsa, Syafwan Sukri, 19, yang ketika itu cuba menyelamatkan mangsa tetapi turut tenggelam dan hilang daripada pandangan rakan lain.
Rakan mangsa, Jad Jafni Zawahir, 19, berkata, hasrat mereka lima sekawan untuk berkelah mandi-manda di kawasan tersebut bertukar tragedi apabila dua rakannya ditemui mati lemas.
Menurutnya, kesemua mereka penuntut Kolej Matrikulasi Pahang tiba di kawasan perkelahan itu kira-kira jam 10 pagi.
"Kami memang merancang untuk berkelah di kawasan air terjun ini. Lebih kurang jam 9 pagi, rakan yang juga penuntut kolej sama dari Indera Mahkota datang ambil kami dengan kereta untuk ke sana.
"Lebih kurang setengah jam kami sampai di kawasan air terjun tetapi tidak terus mandi dan mencari port sesuai untuk mandi," katanya ketika ditemui di pekarangan unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Jad Jafni berkata, ketika mereka berlima berjalan di dalam air untuk mencari kawasan sesuai untuk mandi, tiba-tiba sahaja mangsa yang berada di hadapan tenggelam.
"Ketika Dzulhaziqi berkata, 'wehhh... air dalam" dia terus tenggelam dan Syafwan yang berada di sampingnya sempat memaut tangan tetapi dia juga turut tenggelam.
"Kami bertiga yang berada di belakang cuba capai tangan mereka tetapi tidak sempat. Selepas tenggelam timbul beberapa ketika, mereka berdua terus tenggelam dan hilang dari pandangan," katanya.
Tambahnya, usaha mereka dan orang ramai cuba mencari dua sahabat berkenaan tidak berhasil hinggalah pasukan bomba tiba.
"Kami dapatkan pertolongan orang ramai untuk mencari tetapi gagal kerana air terlalu dalam.
"Pada masa sama bomba dihubungi dan kedua jasad mereka berjaya ditemui," katanya.
Katanya, dia dan rakan-rakan lain tidak menyangka tragedi tersebut akan berlaku, tambahan kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan.
"Memang tiada langsung perubahan atau petanda pelik. Tetapi ada juga saya rasa tidak sedap hati.
Memang kami belum sempat untuk mandi dan kejadian berlaku dalam sekelip mata," katanya.