BALING - Hampir 1,300 tandatangan penduduk yang membantah projek kuari batu kapur di Gunung Pulai berjaya dikumpulkan hari ini melalui Majlis Kenduri Rakyat dan Kempen Selamatkan Gunung Pulai.
Kempen berkenaan turut disertai masyarakat pelbagai kaum dan perbezaan politik.
Pengerusi Majlis Bertindak Membantah Operasi Kuari Gunung Pulai, Mohd Sabri Mahmood berkata, tandatangan itu akan dihantar kepada Menteri Besar Kedah, Perdana Menteri, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Istana Kedah.
"Bantahan kali kelapan ini membuktikan penduduk Baling sedar kepentingan mempertahankan Gunung Pulai. Kami mahu kawasan ini menjadi lokasi pelancongan," katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Sabri berkata, pertambahan pelancong ke Gunung Pulai dapat meningkatkan pendapatan penduduk
"Ada yang mendaki gunung, berkayak di sungai di kaki gunung, dan pelbagai lagi terutamanya waktu cuti," katanya.
Beliau berkata, kerajaan dituntut mengkaji sedalam-dalamnya akan kesan dan akibat kepada penduduk dan alam sekitar jika operasi kuari dijalankan.
Mohd Sabri menyaran kerajaan turut menjalinkan kerjasama dengan banyak persatuan di Baling bagi memajukan daerah ini.
"Persatuan-persatuan ini lebih arif dengan kawasan mereka. Seperti contoh Persatuan Penduduk Dalam Wang berjaya menarik pelancong ke Gua Sireh.
"Seperti Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, dahulu ia dimajukan penduduk sebelum diambil alih Majlis Daerah Baling," katanya.
Dalam pada itu, Sabri berkata, perjuangannya mempertahankan Gunung Pulai mungkin akan berakhir.
"Sekiranya pihak kerajaan masih tetap menjalankan operasi ini, saya akan meletakkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Membantah Operasi Kuari Gunung Pulai.
"Tindakan seterusnya diserahkan kepada kuasa penduduk. Biarlah mereka yang menentukan," katanya.
Terdahulu, bantahan berkenaan dihadiri penduduk, beberapa buah NGO antaranya Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka); Sahabat Alam Malaysia (SAM); wakil rakyat Pas dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Kupang dan Bayu; wakil komuniti masyarakat Siam Baling serta pemimpin Pakatan Harapan (PH) Baling.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris berkata, kerajaan digesa mendedahkan hasil kajian Impak Alam Sekitar (EIA) terbaru kepada rakyat.
"Selain itu, kita akan terus mendesak kerajaan membatalkan projek kuari melalui Sidang DUN, yang terbaru pada Oktober depan," katanya.