BENTONG - Editor Berita TV Bahasa Mandarin RTM, Chin Kean Hwa antara yang meninggal dunia akibat dihempap pokok di kawasan air terjun Lata Hammer di sini malam semalam.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, selain Kean Hwa, seorang lagi mangsa turut meninggal dunia di lokasi kejadian ialah Winnie Tan Gaik Kin, 40-an yang beralamat di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata, dua lagi pengunjung, Tan Wai Hong, 40-an beralamat di Kuala Lumpur dan Leong Yau Lai, 30-an dari Teluk Intan, Perak dilaporkan cedera dalam kejadian itu.
Menurutnya, siasatan awal di lokasi mendapati ketika kejadian mangsa bersama 25 yang lain sedang berkhemah di lokasi tersebut.
"Kira-kira jam 10 malam, sebatang pokok berukuran 30 meter tinggi dengan ukur lilit dua meter tumbang dan menghempap kumpulan pengunjung terbabit. Ketika kejadian keadaan cuaca dilaporkan baik.
"Akibat kejadian, dua mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia manakala dua lagi dilaporkan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan," Katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Yusuf berkata, susulan maklumat diterima, pihaknya bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong ke lokasi dan tiba kira-kira jam 12.27 tengah malam untuk operasi bantuan menyelamat.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba membuat rawatan awal kepada mangsa yang cedera.
Katanya, kedua-dua mangsa cedera dibawa ke kawasan lapang atas tebing pada ketinggian 60 meter menggunakan tali.
"Anggota seterusnya membawa mereka keluar ke jentera EMRS dan ambulans yang menunggu di lokasi kira-kira lapan kilometer dari kawasan air terjun untuk dibawa ke Hospital Bentong.
"Seterusnya anggota kita turut menggerakkan operasi mengeluarkan mayat mangsa yang maut sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.