JOHOR BAHRU - Sempena Bulan Kebangsaan, pusat pembelajaran bahasa Mandarin, Kunkwan International Mandarin Learning Centre memilih untuk menganjurkan Pertunjukan Fesyen KunKwan buat julung kalinya.
Pengurus Besarnya, Kent Ng berkata, selain belajar bahasa, belajar budaya juga mampu mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara ini.
"Mesej utama kami ialah perpaduan dan untuk kita faham jika nak mengukuhkan perpaduan, kena kenal satu sama lain lebih baik kerana selalunya tak kenal punca salah faham.
"Salah satunya belajar bahasa dan juga budaya masyarakat lain malah orang Melayu sendiri cakap, tak kenal maka tak cinta sebab itu kami pilih anjurkan pertandingan ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas pertandingan Pertunjukan Fesyen KunKwan di sini.
Dalam pertandingan itu seramai 19 peserta dari seluruh pelusuk negara mengetengahkan pelbagai idea yang diolah dengan budaya Cina termasuk kipas, warna, pakaian tradisi termasuk memperkenalkan diri dalam bahasa Mandarin.
"Peserta ketengahkan pelbagai idea malah kita boleh saksikan hasil pakaian yang silang budaya bukan Melayu, Cina, India sahaja tapi ada Baba Nyonya serta Etnik Sabah Sarawak. Ini salah satu cara yang betul-betul boleh ketengahkan perpaduan antara kita.
"Kami orang Cina akan sangat kagum apabila mendengar bangsa lain boleh berbicara dalam bahasa Mandarin dan terus terus rasa dekat," katanya.
Pihaknya juga merancang untuk menganjurkan pertandingan sama tahun depan namun di tempat lebih terbuka seperti pusat membeli belah supaya lebih ramai dapat menyaksikan keunikan tersebut.
Rancang buka kelas tulisan jawi di Kun Kwan
Menyentuh soal isu kontroversi melibatkan pengenalan tulisan jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, beliau melihat isu itu tidak sewajarnya diperbesarkan.
"Tidak sepatutnya jadi isu yang besar sebab di Malaysia di mana-mana pun boleh nampak tulisan jawi. Pada duit kertas pun ada. Setakat kenalkan tulisan jawi bukan isu besar, belajar tulisan jawi itu bukan belajar agama.
"Sebenarnya manusia akan rasa takut pada benda yang dia tidak faham jadi kalau nak bagi faham, saya rasa pengenalan tulisan jawi di sekolah itu perlu disokong. Kadang-kadang kaum Cina terlalu 'protect' diri sendiri dan itu tidak bagus.
"Jadi saya rancang nak mewujudkan kelas perkenalan tulisan jawi di Kun Kwan tahun ini, sekadar untuk mengenali bukanlah belajar sampai tahap profesional," katanya.
Sementara seorang tutor di Kun Kwan, Preshantini Mathiyazhagan berkata, sebagai rakyat Malaysia setidaknya perlu ada sedikit ilmu tentang tulisan jawi.
"Belajar tulisan jawi pun penting kerana sebagai rakyat Malaysia kita perlu belajar juga, kenalah ada ilmu walaupun sedikit.
"Mungkin mereka (kaum India) terlalu mengikut mentaliti lama sebab sekarang kita berada dalam zaman generasi yang sangat berbeza. Untuk pendidikan kita boleh berubah sedikit.
"Kenapa tidak kita menerima perubahan? Kerana dengan belajar ini kita boleh mencipta satu hubungan dan memahami antara satu sama lain," katanya.
Sudu plastik jadi tarikan
Keunikan idea rekaan pakaian dan aksesori menggunakan pelbagai barangan termasuk sudu yang digubah menjadi sanggul selain elemen budaya utama di Malaysia yang sangat jelas menobatkan trio dari Kolej Vokasional (ERT) Azizah juara Pertunjukan Fesyen KunKwan 2019.
Pelajar tahun akhir Diploma Seni Reka, Wan Anisa Sofia Mohd Nizam, Nuralisa Anwar serta Puteri Darine Natasha R.Azman menyiapkan rekaan 'The New Look' yang menggabungkan budaya Melayu, Cina dan India itu selama dua hari.
Mereka akui banyak melakukan kajian silang budaya sebelum memilih untuk menghasilkan rekaan tersebut yang secara tak langsung memberi ilmu baharu tentang budaya kaum lain.
"Kami baru tahu yang kipas itu bukan sekadar kipas tapi ada kisahnya yang dikaitkan dengan dewi kaum Cina malah kami dapat belajar pakaian tradisi pengantin Cina.
"Kami juga diminta perkenalkan diri dalam bahasa Mandarin jadi kami dapat belajar sedikit bahasa Mandarin juga. Sempat juga belajar bagaimana lipat sari sebab ada caranya bukan boleh lipat semberono," kata Nuralia.