IPOH - Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu merempuh sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan di Jalan Keramat Pulai, di sini, petang semalam.
Mangsa berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan selepas tercampak ke dalam longkang dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang.
Iklan
Iklan
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highland ke Ipoh.
"Setibanya di lokasi kemalangan motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu memasuki arah bertentangan dan melanggar sebuah lagi motosikal dari arah tersebut.
"Akibat daripada kemalangan itu mangsa tercampak ke dalam longkang dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, seorang lagi penunggang motosikal yang menunggang dari arah Ipoh menuju ke Cameron Highland hanya mengalami cedera ringan.
"Siasatan lanjut diteruskan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.