KUANTAN - Masyarakat diminta tidak mengeluarkan sebarang spekulasi berkenaan siasatan terutama identiti mayat yang ditemui dalam tragedi kebakaran 32 unit rumah dan sebuah perpustakaan di Sungai Lembing di sini.
Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Saharul Nizam Abdul Rahim berkata, pihak bomba tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung jantina mangsa.
Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya memperoleh maklumat daripada saksi awam bahawa salah sebuah unit yang terlibat kebakaran didiami dua penghuni warga emas.
"Kita menemui mayat seorang mangsa dan masih meneruskan siasatan berhubung seorang lagi penghuni rumah tersebut. Forensik Kebakaran Bomba menjalankan siasatan secara saintifik dan perlu dijalankan secara terperinci dengan mengambil kira pelbagai aspek.
"Ketika ini pasukan forensik sedang membuat excavation (penggalian) untuk membuat pencarian yang lebih teliti supaya kita tidak terlepas sebarang bukti atau petunjuk," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di Jalan North Canton Street di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, pihaknya meminta masyarakat untuk menghormati siasatan pihak forensik JBPM.
"Berhenti membuat spekulasi dan hormatilah juga perasaan keluarga yang sentiasa memberikan kerjasama baik kepada kita," katanya.