KOTA BHARU - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kelantan mengingatkan kepada semua pemandu untuk lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan berhampiran sekolah.
Pengerusinya, Johari Ahmed berkata, selain sikap bertanggungjawab dan pemanduan berhemah, pengguna jalan raya perlu mematuhi had kelajuan tidak melebihi 30 kilometer sejam di kawasan sekolah.
"Malang tidak berbau, lebih baik kita berwaspada. Mungkin dengan sikap bersopan santun kita di jalan raya ia dapat mengurangkan kecelakaan dan kemudaratan kepada mana-mana pihak.
"Seperti kes yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 1 beberapa hari lalu. Kita mengharapkan ia menjadi iktibar untuk semua," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Dalam kejadian Rabu lalu, Mohamad Nur Akmal Daud, 15, pelajar tingkatan tiga SMK Kubang Kerian 1 maut selepas motosikal yang ditunggang bersama rakannya dilanggar sebuah lori di hadapan pintu masuk utama sekolah.
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan parah di kepala manakala rakannya yang membonceng cedera.
Johari berkata, selain lintasan zebra sedia ada, pihaknya mencadangkan supaya dibuat garisan lebih tebal di depan sekolah-sekolah seluruh negeri untuk memperlahankan kenderaan yang melalui kawasan tersebut.
"Sama seperti yang dibuat di hadapan balai bomba. Saya merasakan kemungkinan dengan cara ini dapat mengurangkan risiko kejadian tidak diingini berlaku," katanya.
Dalam pada itu, Johari yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Kubang Kerian 1 menyifatkan pemergian anak bongsu daripada enam beradik itu satu kehilangan besar memandangkan Allahyarham adalah antara pelajar cemerlang.
"Berdasarkan kunjungan saya bersama guru-guru ke rumah mangsa, keluarga tersebut masih lagi trauma dengan kejadian berkenaan.
"Pihak kami juga turut mengumpulkan sumbangan bernilai lebih RM3,000 dan diagihkan kepada kedua-dua keluarga terlibat," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar maut dilanggar lori di hadapan sekolah