KOTA BHARU - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah dikejutkan dengan bunyi dentuman sebanyak 62 kali di sekolah berkenaan semalam.
Bagaimanapun dentuman tersebut bukan berkaitan dengan kejadian jenayah tetapi sebenarnya simbolik sambutan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan peringkat SK Pulau Gajah.
Guru Besar, Che Sazali Che Ibrahim berkata, itu antara kelainan yang diambil sekolah tersebut dalam usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan yang ke-62 tahun ini.
"Kita buat bunyi seperti bedilan meriam sebanyak 62 kali untuk sama-sama imbau dan kenang macam mana kepayahan para pejuang negara memerdekakan tanah air.
"Biarpun mereka masih di sekolah rendah tetapi perkara-perkara sebegini kita perlu ingatkan dan tanam di dalam jiwa mereka supaya anak-anak ini sayangkan negara," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kemeriahan sambutan Bulan Kebangsaan ke-62 di sekolah itu juga dihangatkan dengan nyanyian lagu-lagu kemerdekaan yang digemakan oleh 159 murid, 24 guru dan kakitangan sokongan.
Che Sazali berkata, majlis tersebut turut diserikan dengan acara membawa turun Jalur Gemilang dari tangki air berketinggian 16 meter menggunakan tali yang disambut dengan laungan merdeka.
"Sebanyak 62 bendera tercinta tanah air juga dikibarkan sepanjang program berlangsung dan saya turut berkongsi mengenai cara-cara untuk menghormati Jalur Gemilang," katanya.
Majlis tersebut dihadiri Penolong Kanan Kokurikulum, Yahya Yaacub dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa SK Pulau Gajah, Norizaidah Abdul Salam.