MUMBAI - Seorang peminat fanatik biasanya sanggup melakukan apa sahaja demi selebriti kesayangan mereka.
Begitu juga dengan seorang lelaki di India ini yang sanggup berjalan sejauh 900 kilometer semata-mata mahu merealisasikan impiannya untuk bertemu aktor Bollywood terkenal, Akshay Kumar.
Perjalanan lelaki hanya dikenali sebagai Parbat dari Dwarka ke Mumbai dikatakan mengambil masa selama 18 hari.
Kumar yang terkejut dengan ‘pengorbanan’ peminatnya itu turut berkongsi gambar swafoto mereka di media sosial.
"Jika golongan muda di negara ini menggunakan perancangan dan mempunyai tekad seperti Prabat untuk mencapai matlamat mereka. Jadi, tiada apa yang dapat menghalang kita! #SundayMotivation,” kata Kumar menerusi Twitter.
Bintang yang sudah membintangi lebih 100 filem tersebut turut melahirkan rasa terharu dengan kesungguhan para peminatnya.
"Saya berterima kasih dengan sokongan yang ditunjukkan oleh anda semua. Tetapi, saya ada satu permintaan. Tolong jangan buat perkara seperti ini. Fokus kepada masa, tenaga dan sumber untuk memperbaiki kehidupan anda. Itu sudah cukup memadai untuk membuat saya gembira. Saya doakan segala yang terbaik buat Parbat,” ujarnya lagi.
Kumar turut berkongsi video Parbat yang menyatakan sebab utama dia sanggup berjalan sejauh itu.
"Saya ‘fit’ dan saya mahu menyampaikan mesej tentang kelebihan berjalan. Semua orang patut amalkan untuk gaya hidup yang sihat,” jelasnya yang berpuas hati kerana misinya berjaya. - Agensi