MELAKA - Program Malam Islam Bersatu di Masjid Cina Melaka pada 7 September ini tetap diteruskan, kata Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Beliau yang juga pengerusi masjid berkenaan berkata, walaupun mendapat tekanan hebat daripada mana-mana pihak, keputusan meneruskan program itu adalah muktamad.
Menurutnya, program berkenaan sepatutnya tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana ia adalah program ibadah dan keagamaan, bukannya program politik.
"Program tersebut juga bukan anjuran kerajaan negeri mahupun parti politik sebaliknya ia dianjurkan oleh Masjid Cina Melaka.
"Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari juga telah dimaklumkan mengenai hasrat menjemput penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik dan beliau memaklumkan kepada saya yang beliau tiada halangan asalkan tidak melibatkan ceramah seperti saranan pihak polis," katanya.
Mohd Rafiq berkata, polis dan kerajaan Melaka hanya melarang Dr Zakir berceramah dan bukannya melarang beliau hadir program ibadah seperti solat fardu berjemaah atau ibadah sunat yang lain.
Katanya, menjadi hak umat Islam di negara ini untuk bersolat dan beribadah di masjid bersama mana-mana pemimpin atau pendakwah Islam tanpa perlu campur tangan, merujuk terlebih dahulu atau meminta kebenaran daripada pihak bukan Islam.
"Orang bukan Islam juga berhak mengadakan sebarang aktiviti agama masing-masing di gereja, kuil dan tokong bersama pemimpin agama mereka tanpa campur tangan umat Islam," katanya.
Tambahnya, perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
"Kepada rakan dan sahabat bukan Islam, percayalah bahawa perpaduan atau kesatuan utuh umat Islam tidak akan menjejaskan perpaduan rakyat Malaysia dan Melaka berbilang kaum dan agama.
"Sebagai wakil rakyat dan pemimpin masyarakat berbilang kaum dan agama, selain hadir dan membantu program-program di masjid dan surau, saya juga biasa dijemput ke rumah ibadat orang bukan Islam dan saya juga sering menghulurkan bantuan kerajaan di rumah-rumah ibadat orang bukan Islam," katanya.
Justeru, beliau menyeru umat Islam seluruh negara dan negeri Melaka untuk hadir beramai-ramai ke program itu demi merealisasikan umat Islam yang lebih bersatu.
Terdahulu, Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis tidak mempunyai halangan terhadap program tersebut yang dihadiri Dr Zakir berikutan ia hanya melibatkan solat sunat dan tidak melibatkan ceramah.
Bagaimanapun, ia dipertikai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee apabila menggesa semua pihak di Melaka mengikut semangat dan keputusan Ketua Menteri untuk mengharamkan pendakwah berkenaan daripada berceramah.