ASEAN tetap relevan, kata Tun M

Iklan
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh bagi mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Kemboja hari ini. - Foto Bernama

PHNOM PENH - Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata ASEAN kekal sebagai kumpulan serantau yang relevan di dunia dan perlu memperkukuh kerjasama dalam menghadapi pelbagai cabaran dan pengaruh kuasa-kuasa besar.

Beliau berkata, banyak pihak mungkin mendakwa ASEAN hari ini tidak seaktif dahulu, tetapi mereka tidak boleh nafikan hakikat bahawa blok ekonomi 10 negara anggota itu adalah antara segelintir kumpulan serantau yang telah dapat meneruskan kelangsungannya sehingga kini.

Iklan
Iklan

"Jika satu daripada kita (negara-negara anggota ASEAN) melibatkan diri dalam rundingan antarabangsa, ini tidak membawa banyak kesan dan pengaruh dalam hujahan. Oleh itu adalah lebih baik kita adakan perbincangan sebagai ASEAN dan bergerak sebagai satu kumpulan mewakili 10 negara anggota.

"Bagaimanapun, jika anda lihat pada banyak rantau di dunia, anda akan dapati ASEAN adalah satu di antara segelintir rantau damai dan stabil di dunia kerana kita bekerjasama.

Iklan

"ASEAN masih tetap relevan dan saya harap ia terus memperkukuh dirinya menerusi kerjasama lebih luas dalam kalangan negara-negara anggota,” kata beliau.

Dr Mahathir, yang sedang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Kemboja bermula hari ini, menyatakan demikian pada sesi dialog mengenai"Balancing Relations with the Superpowers in the Context of ASEAN” di Royal University of Phnom Penh (RUPP) di sini.

Iklan

Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dan Rektor RUPP Dr Chet Chealy.

Ditanya tentang kemungkinan negara-negara anggota ASEAN keluar dari blok itu seperti United Kingdom keluar dari Kesatuan Eropah (EU), Dr Mahathir berkata:"Saya tak fikir ini akan berlaku”.

Katanya, ASEAN adalah sebuah persatuan negara-negara yang mengekalkan identiti dan cara melakukan urusan masing-masing tetapi blok ini akan membuat pendirian bersama dari sudut perdagangan.

"Kami sebuah persatuan negara-negara yang longgar. Kami hidup aman dan makmur untuk semua.

"Jika sesebuah negara ingin meninggalkan ASEAN, ia tidak akan merosakkan ASEAN... Saya tidak fikir ini akan berlaku dalam kumpulan ASEAN,” kata beliau.

Tentang perang dagang yang sedang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dan China, Dr Mahathir berkata itu hanya membazirkan masa dan wang, dan satu tindakan amat tidak produktif.

Menyifatkan perang dagang itu sebagai tidak bijak, beliau berkata AS dan China perlu cuba berunding atau mewujudkan badan timbangtara bagi mencari penyelesaian di mahkamah undang-undang.

"Apapun mereka adalah manusia, terutama AS yang sering menggesa kita menerima kedaulatan undang-undang.

"Perang dagang tidak selaras dengan kedaulatan undang-undang. Jadi saya harap mereka yang mengajar tentang demokrasi dan kedaulatan undang-undang hendaklah turut mematuhi peraturan yang sama yang mereka anjurkan untuk negara-negara lain”.

Sementara itu, Dr Mahathir dikurniai Anugerah Felo Kehormat oleh RUPP atas pencapaian cemerlang beliau dalam beberapa dekad demi penambahbaikan dunia dan pemodenan Malaysia, serta usaha beliau"merawat” penyakit politik, sosial dan ekonomi Malaysia. - Bernama