Ais sarbat 100 tahun angkat nama Pulau Pinang

Iklan
Kon Yeow diberi penghormatan untuk mencuba menyediakan ais sarbat.

GEORGETOWN - Tetap rasa yang sama. Itulah keunikan ais sarbat yang kini berusia 100 tahun dan masih digemari oleh semua lapisan masyarakat.

Ini kerana ais sarbat masih mengekalkan resipi turun-temurun iaitu campuran 25 rempah ratus asli dari Asia Barat.

Iklan
Iklan

Antaranya adalah getah anggur, biji selasih, akar sarbat, isi kelapa, kembang semangkuk dan banyak lagi.

Campuran semua bahan itu menjadikan rasa airnya sangat istimewa serta lain daripada yang lain.

Iklan

Mula dijual sebagai minuman biasa kepada orang ramai khususnya pedagang di pelabuhan pada 1919, ais sarbat kini popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong luar.

Ais sarbat mula dijual dengan menggunakan kenderaan beroda yang dijaja di sekitar pelabuhan.

Iklan
Kon Yeow (tengah) merasmikan sambutan ulang tahun ais sarbat yang ke-100 di Lebuh Tamil hari ini.

Bagaimanapun, pengusahanya ketika itu telah menyewa sebuah kedai di Lebuh Tamil di sini dan menjual air tersebut menerusi tingkap.

Dari situ, ais sarbat mula popular dengan panggilan ais tingkap dalam kalangan penduduk tempatan selain ia kini mendapat gelaran 'Windows Sherbet' dalam kalangan pelancong antarabangsa.

Generasi keempat yang mengusahakan ais sarbat, Mohd Asri Seeni Mohamed berkata, antara kebaikan ais sarbat adalah mampu menyejukkan badan dan melegakan sakit tekak.

Sebab itu katanya, ais sarbat mampu bertahan sehingga kini selain rasanya yang sedap.

"Dengan kelebihannya itu, ais sarbat menjadi rebutan dalam kalangan pekerja di pelabuhan pada awal penjualannya dan kini dicari dalam kalangan pelancong.

"Mana-mana pelancong tak kira dalam atau luar negara, selepas mereka penat bersiar-siar sekitar bandar ini mesti akan cari ais sarbat," katanya ketika ditemui hari ini.

Kon Yeow (tengah) mencuba menyediakan ais sarbat.

Tambahnya, ketika diperkenalkan, kesemua rempah ratus yang digunakan untuk menghasilkan ais sarbat dibawa dari luar negara.

"Dulu masa mula-mula diperkenalkan harga ais sarbat hanya 10 sen. Sekarang harganya antara RM2.50 hingga RM3. Kita mampu menjual sehingga 500 gelas pada hari biasa dan boleh mencecah 1,000 gelas pada cuti umum dan cuti persekolahan.

"Resipi semua sama seperti dahulu, tetapi hari ini kebanyakan rempah ratus untuk menghasilkan air sarbat ini sudah boleh diperoleh di negara ini. Saya masih mengekalkan resipi turun-temurun yang diwarisi daripada moyang saya bagi memastikan rasanya kekal sama," katanya.

Mohd Asri berkata, dia sedang merancang untuk membuka cawangan kedainya itu di seluruh negara dalam masa terdekat.

"Apabila melihat sambutan luar biasa khususnya daripada pelancong tempatan dan luar negara, saya mula terfikir dan merancang untuk buka cawangan ais sarbat di seluruh negara. Dengan ini, penggemar ais sarbat dapat membelinya walaupun tidak ke Pulau Pinang.

"Pada masa ini, ais sarbat hanya dijual di Pulau Pinang. Ada juga beberapa pihak dari beberapa negeri malah dari Singapura menunjukkan minat untuk menjual ais sarbat ini," katanya.

Terdahulu, Mohd Asri ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-100 perniagaan ais tingkap yang dirasmikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Lebuh Tamil, di sini.

Sebanyak 1,000 gelas ais sarbat diedarkan secara percuma kepada orang ramai sempena majlis itu.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, ais sarbat merupakan minuman popular kerana keenakannya dan beliau bangga dengan pencapaian perniagaan itu.

"Saya bangga dengan perniagaan ais sarbat yang bukan sahaja mampu bertahan sehingga 100 tahun, malah turut mempopularkan negeri ini kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

"Rasanya yang sedap membuatkan ais sarbat mampu bertahan sehingga hari ini, bukan sahaja digemari penduduk tempatan malah pelancong dari luar," katanya.