PEKAN - Permintaan tinggi terhadap cendawan tiram kelabu mendorong seorang tukang masakberalih arah dengan menceburi bidang pertanian.
Shafawira Ramlee, 42, berkata, keputusan meninggalkan kerjaya itu bagi mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu ternyata membuahkan hasil.
Menurutnya, dia mampu menuai hasil antara 40 hingga 100 kilogram (kg) setiap hari.
"Pelanggan saya terdiri daripada peniaga dan pelanggan di pasar tani serta pekan sehari di daerah ini, Kuantan serta Rompin.
"Setiap kilogram cendawan dijual pada harga RM12 dan saya mengutip hasil dua kali sehari dengan dibantu lima pekerja.
"Saya akan memastikan pengeluaran cendawan yang saya tanam mampu menghasilkan tuaian mencukupi,” katanya ketika ditemui di Pusat Pertanian Tanah Putih hari ini.
Jelasnya, dia kini mempunyai lebih 100,000 beg cendawan ditempatkan dalam 12 rumah simpanan pelbagai saiz di kawasan Pusat Pertanian Daerah Permatang Pauh dan Pusat Pertanian Tanah Putih.
Shafawira menambah, sokongan daripada Pejabat Pertanian Pekan menambahkan lagi semangatnya meneruskan projek itu yang diusahakan arwah bapanya, Ramlee Awang sejak 20 tahun lalu.
‘Saya mahu kembangkan legasi yang telah arwah ayah jalankan dan ternyata usaha yang saya lakukan ini berbaloi.
"Saya tak pernah menyesal membuat keputusan berhenti bekerja sebagai tukang masak demi memastikan usaha arwah ayah dapat diteruskan,” katanya.
Dia yang sebelum ini bertugas sebagai tukang masak dengan Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) berkata, pertumbuhan cendawan bergantung kepada keadaan cuaca dan akan bertambah antara tiga hingga lima kali ganda pada musim hujan kerana kelembapan tinggi.
Jelasnya pada musim panas pula, aktiviti menyiram perlu dilakukan dua kali sehari bagi mengelakkan benih dalam beg mati jika suhu dalam rumah simpanan panas.
Selain itu, Shafawira berkata, selain menjual cendawan segar, dia turut membekalkan bongkah cendawan dengan harga RM2 seunit.
"Bongkah ini dibuat menggunakan campuran habuk kayu getah, dedak kulit gandum, kapur dan air yang mampu bertahan serta mengeluarkan hasil selama empat bulan.
"Saya juga menyediakan khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada individu yang berminat menceburi aktiviti tanaman cendawan yang mampu memberi pendapatan menguntungkan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pejabat Pertanian daerah, Abdul Halim Jamaludin, berkata pihaknya akan terus berusaha membantu menyediakan kemudahan diperlukan Shafawira untuk membesarkan lagi projek itu.
"Kita akan terus memberikan bantuan dan khidmat nasihat yang sesuai kepadanya bagi membolehkan perusahaan ini terus kembang maju,” katanya.
Habis#