KOTA BHARU - Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan memberi alasan kukuh mengenai cadangan untuk meningkatkan umur persaraan kepada 65 tahun.
Ketua Pemudanya, Shahir Adnan berkata, alasan mengikut jejak langkah Singapura adalah tidak masuk akal.
"Kenapa Malaysia perlu ikut jejak langkah negara jiran, contohnya Indonesia untuk bawa masuk Gojek dan kini umur persaraan wajib seperti Singapura.
"Kita sudah merdeka 62 tahun dan seharusnya mempunyai pemikiran yang matang dalam merangka dasar-dasar negara.
"Dasar-dasar sebegini sebenarnya menutup ruang pekerjaan untuk graduan yang baharu tamat belajar, yang kemudian diberikan 'gula-gula' untuk memulakan alam pekerjaan dengan membawa Gojek.
"Kerajaan tidak konsisten dalam merangka dasar-dasar kepada anak muda," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng perlu membuktikan statistik dan kajian mengenai implikasi menaikkan had umur persaraan wajib kepada 65 tahun.
Beliau turut mempersoalkan, adakah dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) makin menguncup disebabkan ketidaktentuan pelaburan dana KWSP sejak Pakatan Harapan memerintah negara.
"Penjelasan harus diberikan kepada rakyat kerana jika dasar ini dilaksanakan, setiap individu yang menyimpan di dalam KWSP tidak akan dibenarkan mengeluarkan caruman mereka hingga umur 65 tahun.
"Dari sudut pentadbiran, menteri-menteri Kabinet hari ini seolah-olah tidak membincangkan hal ini di dalam mesyuarat Kabinet setiap minggu.
"Menteri Sumber Manusia mengumumkan perkara ini di media, kemudian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula tidak bersetuju dan mengumumkan di media sosial.
"Kecelaruan sebegini menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini.
"Syed Saddiq menggunakan media sosial untuk meraih simpati anak muda, walhal perkara sebegini seharusnya dikaji dan dibincangkan terlebih dahulu sebelum jemaah menteri membuat kenyataan," katanya.