GOMBAK - Polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian kemalangan melibatkan sebuah ambulans dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Lebuhraya Karak berhampiran Plaza Tol Gombak di Gombak kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, polis juga tidak pasti sama ada kemalangan itu membabitkan kecederaan atau tidak.
"Untuk makluman, sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kemalangan ini daripada mana-mana pihak yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, sebuah ambulans yang melalui lorong kecemasan dirakam berlanggar dengan sebuah kenderaan dan rakaman kamera video papan pemuka kereta berhubung kejadian itu tular di media sosial.
Video berdurasi 15 saat itu dimuat naik menerusi Facebook Info Roadblock JPJ/Polis mendapat 2,700 komen dan 2,300 perkongsian sehingga jam 11.58 pagi tadi.
Berdasarkan video yang dikongsi netizen (Kredit video: Raymond Ng) pemandu kenderaan SUV dirakam memandu melulu dari lorong kedua lebuh raya memasuki lorong kecemasan sehingga berlanggar dengan sebuah ambulans.
Kejadian menyebabkan ambulans terbabit terbalik di bahu jalan.
ARTIKEL BERKAITAN: Video nahas ambulans di lorong kecemasan tular di Facebook