LANGKAWI - Sebuah bot nelayan tempatan kelas C ditahan lewat petang semalam kerana disyaki menceroboh dan menunda ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama (M) Rozali Mohd Said berkata, bot tersebut ditahan kira-kira 10.9 batu nautika barat daya Pulau Rebak Besar di sini.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas hasil tangkapan termasuk bot nelayan tersebut yang dianggarkan bernilai RM500,000.
"Bot peronda APMM menahan sebuah bot bersama seorang tekong dan tiga awak-awak warga Thailand berumur lingkungan 22 hingga 34 tahun sekitar 7 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rozali berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) atas kesalahan melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai.
"Hasil pemeriksaan juga mendapati lebih kurang 500 kilogram ikan pelbagai saiz dan jenis terdapat di atas bot tersebut. Bot dan kru terlibat dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut untuk tindakan lanjut,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan orang awam agar melaporkan sebarang kegiatan jenayah di laut atau kegiatan yang mencurigakan kepada APMM melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750.