SHAH ALAM - Mengiklankan tawaran pinjaman wang di media sosial dengan 'pujukan' bagi memperoleh pinjaman dengan cara mudah tanpa melalui prosedur rumit.
Itu antara taktik sindiket pinjaman tidak wujud (PTW) yang dikesan susulan operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Putri, Klang Khamis lalu.
Ketua JSJK Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, operasi kira-kira jam 4.15 petang itu menahan seramai tujuh warga tempatan berusia 19 hingga 27 tahun termasuk tiga wanita yang disyaki adalah ahli sindiket PTW.
"Pelbagai barang dirampas antaranya telefon bimbit (14), kad ATM (12), kad sim (6), salinan nombor telefon mangsa (1) serta dua kereta jenis Toyota Vios dan Proton Saga FLX.
"Polis percaya rumah teres itu dijadikan tempat operasi sindiket sejak dua minggu lalu. Kesemua suspek ini juga diupah dengan bayaran RM1,500 sebulan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Mengulas lanjut mengenai modus operandi sindiket, Fazlisyam mendedahkan, mangsa yang tertarik dengan tawaran pinjaman itu akan diarahkan untuk memasukkan sejumlah wang kononnya sebagai bayaran peguam dan cas tertentu.
Tambahnya, jumlah penyerahan wang oleh mangsa adalah berbeza dan bergantung kepada sindiket, bagaimanapun tiada sebarang wang diterima mangsa selepas mereka memasukkan wang ke dalam akaun sindiket.
"Berdasarkan semakan dan laporan diterima, kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan berusia 20 hingga 30 tahun yang memerlukan wang segera bagi menampung keperluan hidup," katanya.
Fazlisyam berkata, setakat ini sebanyak 95 laporan diterima dengan kerugian berjumlah RM638,000 di seluruh negara membabitkan sindiket ini, manakala di Selangor sahaja mempunyai 16 kes melibatkan kerugian RM140,000.
Menurutnya, polis percaya sindiket yang telah aktif hampir enam bulan ini kerap berpindah ke lokasi lain bagi menyukarkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
"Kesemua suspek sedang direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga Jun, di Selangor sahaja merekodkan sebanyak 378 kes PTW dengan kerugian mencecah RM4.4 juta.
Justeru, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan mana-mana pihak yang cuba menawarkan pinjaman peribadi melalui media sosial.
Orang ramai perlu membuat semakan dengan agensi atau institusi kewangan atau balai berhampiran sekiranya tawaran itu mencurigakan.