Ikan mati di Pantai Lido bukan sebab sisa industri

Iklan
Pautan laman sosial Facebook yang menunjukkan lambakan ikan ditemui mati di sekitar perairan Pantai Lido di sini baru-baru ini.

JOHOR BAHRU - Penemuan lambakan ikan mati di sekitar perairan Pantai Lido, di sini baru-baru ini disahkan tiada kena-mengena dengan sebarang pembuangan sisa (efluen) dari sumber industri atau kumbahan.

Perkara itu turut disahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri bahawa perairan berkenaan bebas daripada sebarang efluen.

Iklan
Iklan

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, sebaliknya kejadian yang berlaku itu adalah kesan daripada perubahan ekosistem di perairan berkenaan.

"Kerajaan Johor peka akan keprihatinan umum tentang penemuan banyak sumber ikan yang mati di Pantai Lido.

Iklan

"Makluman ini telah membantu JAS negeri bertindak segera dalam mengenal pasti sebarang faktor yang menjadi punca berlakunya kejadian berkenaan.

"Siasatan awal dijalankan JAS mendapati bacaan in-situ air di perairan berkenaan bebas daripada sebarang efluen yang dilepaskan dari sumber industri atau kumbahan tetapi merujuk kepada perubahan ekosistem yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Chen Choon berkata, pihaknya mendapati punca kematian hidupan itu disebabkan kadar oksigen terlarut (DO) yang dicatatkan di perairan berkenaan sudah tidak sesuai.

"Sebagai pencerahan, bacaan parameter in-situ DO yang sesuai dengan hidupan laut adalah 5.0 miligram per liter (mg/l) tetapi kadar DO yang dicatatkan di perairan berkenaan kini hanya sekitar 3.6 mg/l.

"Dapatan tersebut menjadi kesimpulan yang dirujuk oleh pihak JAS sebagai perubahan ekosistem di perairan berkenaan menjadi punca kejadian ikan-ikan ini mati,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan meminta JAS terus memantau kualiti air di perairan berkenaan seterusnya mengambil tindakan susulan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

"Peranan Jabatan Perikanan Malaysia juga diperlukan bagi melengkapkan usaha JAS dalam mendepani perubahan ekosistem di perairan tersebut untuk jangka masa panjang,” katanya.

Untuk rekod, penemuan lambakan hidupan laut yang ditemui mati di sekitar Pantai Lido itu mendapat reaksi pelbagai pihak selepas tular di laman sosial Facebook sejak 28 Ogos lalu.