SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa menyelar pimpinan Bersatu yang berterusan menafikan bahawa parti itu bakal menjadi Umno 2.0.
Berdasarkan pemerhatiannya, beliau berkata, Bersatu bukan sahaja bakal menjadi Umno 2.0, tetapi juga 'Super Umno'.
"Tengok pada cara dan gaya, ia bukan sekadar bakal menjadi Umno 2.0, malah bakal menjadi 'Super Umno'," katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya hari ini.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Bersatu bukan Umno 2.0 kerana mempunyai dasar pemilihan ahli tersendiri.
Hari ini, Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menegaskan perkara itu dalam ucapan dasarnya pada Persidangan Agung Tahunan Armada Bersatu 2018.
Dalam pada itu, Annuar turut menyindir tentang keahlian Bersatu.
"Tengok pada gaya cakap, macamlah rakyat terpaksa beratur panjang dan berebut-rebut nak dapatkan borang keahlian.
"Dahsyat...tapi pelik, cawangan pun tak boleh tubuh di sesetengah tempat," katanya.
Mengulas mengenai parti mana menjadi pilihan orang Melayu, beliau berkata, ia akan dapat disaksikan dalam satu tempoh tertentu nanti.
"Orang Melayu ada Umno, ada Pas, ada Bersatu, ada Amanah, ada PKR, malah ada DAP," katanya.