Sekatan kuasa besar menyakiti negara kecil: Tun M

Iklan
Foto Bernama

PHNOM PENH - Perdana Menteri, Tun Dr Mahahtir Mohamad hari ini menyelar beberapa kuasa besar dunia kerana mengenakan sekatan terhadap negara-negara kecil di rantau ini.

Beliau berkata, sekatan itu bukan hanya menyakiti negara terbabit malahan negara lain juga tanpa sebarang sebab.

Iklan
Iklan

"Kita tiada perbalahan dengan negara ini tetapi kita berhenti menjalankan perniagaan dengan negara berkenaan kerana sekatan itu. Ini sangat tidak adil.

"Sebagai negara kecil, kita tidak boleh melakukan sekatan terhadap sesiapa namun kuasa besarlah yang mengenakan sekatan dan ini menyekat kebebasan negara-negara kecil.

Iklan

"Walaupun mereka terus bercakap tentang hak asasi manusia, mereka menyekat kebebasan kita untuk berdagang dengan rakan niaga kita sendiri," katanya pada sidang media bersama di Pejabat Perdana Menteri, Istana Keamanan di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau akan membawa isu ini ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bnagsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang akan diadakan pada 17 hingga 30 Sept ini.

Iklan

"Ini merupakan platform berbaik bagi kita untuk menyuarakan isu ini,” katanya.

Terdahulu Dr Mahathir yang sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Kemboja bermula Isnin mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya Hun Sen.

Dr Mahathir berkata, Malaysia dan Kemboja bersetuju agar lautan di rantau ini harus bebas untuk pelayaran tanpa sekatan.

"Sekatan akan hanya menjejaskan pembangunan negara yang mempunyai sempadan di laut,” katanya.

Mengenai penyertaan Timor Leste dalam ASEAN, Dr Mahathir berkata"kita akan cuba memastikan Timor Leste menjadi salah satu negara anggota ASEAN dalam mesyuarat pertubuhan itu yang akan datang

"Timor Leste telah memohon untuk menyertai ASEAN sejak sekian lama dan ia sepatutnya menjadi ahli ASEAN," katanya.

Sementara itu, Hun Sen berkata, Malaysia dan Kemboja komited untuk menyegerakan kesepakatan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dalam tahun ini kerana ia adalah penting untuk integrasi dan pertumbuhan ekonomi serantau.

Beliau berkata, Malaysia dan Kemboja komited untuk terus meningkatkan dan mengukuhkan kerjasama dalam rangka kerja dua hala dan pelbagai hala untuk memenuhi kepentingan rakyat kedua-dua negara demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini dan dunia.

"Kita mengakui keperluan untuk menggalakkan latihan dan perkongsian maklumat dalam bidang keselamatan dan pertahanan negara dan mengalu-alukan perbincangan antara kedua-dua kementerian pertahanan dalam mempromosikan kerjasama ini.

"Kita menggalakkan institusi yang relevan di kedua-dua negara untuk mempercepat cadangan dalam memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam memerangi pemerdagangan orang," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir dan Hun Sen menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Pengelakan Percukaian Dua Kali (DTA) dan Memorandum Persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang Pelancongan.

Perjanjian dan MoU itu ditandatangani oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Ekonomi dan Kewangan Kemboja Aun Pornmoniroth dan Menteri Pelancongan Kemboja Dr Thong Khon.

Perdagangan Malaysia-Kemboja pada tahun lepas berjumlah AS$558 juta (RM2.35 bilion) manakala enam bulan pertama tahun ini, nilai itu mencecah AS$422.6 juta (RM1.78 bilion), peningkatan sebanyak 39.2 peratus berbanding tempoh yang sama lepas tahun.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 400 syarikat Malaysia yang beroperasi di Kemboja termasuk dalam sektor perbankan, perhotelan, telekomunikasi dan petroleum. - Bernama