Siti Zainon Sasterawan Negara ke-14

Iklan
Prof Dr Siti Zainon Ismail. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA - Penulis wanita tanah air, Prof Dr Siti Zainon Ismail hari ini diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 melayakkan beliau bergelar Sasterawan Negara ke-14.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, tokoh seni budaya kelahiran Gombak, Selangor itu dipilih berdasarkan beberapa kriteria antaranya sumbangan terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta pengiktirafan yang diterima.

Iklan
Iklan

Menurutnya, anugerah itu diberikan oleh kerajaan kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

"Penganugerahan itu melayakkan Siti Zainon menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai sebanyak RM60,000, tajaan RM500,000 bagi menerbitkan 50,000 naskhah karya beliau yang akan dibeli oleh kerajaan untuk diedarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Iklan

"Beliau juga layak menerima kemudahan perubatan percuma wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk mencipta karya sastera, menerbitkan karya serta penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing dan elaun sara hidup sebanyak RM5,000 sebulan," katanya pada Sidang Media Pengumuman Tokoh Sasterawan Negara ke-14 di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya hari ini.

Maszlee berkata, pengurniaan anugerah itu akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 21 September 2019 jam 8.30 malam di Hotel Istana Kuala Lumpur.

Iklan

Antara kejayaan peribadi Siti Zainon dalam dunia sastera adalah memenangi hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) sebanyak enam kali, Anugerah Budayawan Selangor, Anugerah Tokoh Seni Budaya, Penghargaan Usaha Seni Tan Sri Fatimah-Avon dan Pingat Seri Mahkota Selangor.

Manakala pengiktirafan wanita berumur 69 tahun itu di peringkat antarabangsa pula termasuklah menerima 'SEA Write Award 1989', Tokoh Anugerah Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (Papti)-Anugerah Tokoh Seni Budaya (2015), menerima hadiah Sketsa Kartini (Akademi Seni Rupa Indonesia), penghargaan Seni Seoul Country Club, Korea, Gelar Teuku Chut Nyak Fakinah dan Anugerah Profesor Luar Biasa Universitas Jabat Ghafur Aceh.