Pemuda UMNO kemuka 10 bukti pemimpin PH cetus api perkauman

Iklan

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menyenaraikan 10 bukti pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang telah mencetuskan api perkauman dan kebencian dalam kalangan rakyat di negara ini.

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pergerakan itu memandang serius dakwaan kononnya pembangkang bertanggungjawab memainkan isu perkauman dan bersikap rasis sedangkan pimpinan PH yang banyak mencetuskan api kebencian, perkauman dan rasis.

Iklan
Iklan

"Pemuda UMNO berharap pihak polis dan Peguam Negara bertindak tegas tanpa pilih kasih untuk membawa mereka yang mencetuskan api perkauman ke muka pengadilan.

"Setiap rakyat juga wajar menolak mereka yang berterusan membangkitkan kebencian antara kaum demi menyelamatkan negara tercinta Malaysia agar terus kekal aman, stabil dan harmoni walaupun rakyatnya majmuk dengan kepelbagaian agama dan kaum," katanya.

Iklan

Asyraf Wajdi berkata, antara 10 bukti tersebut ialah Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran menuduh orang Melayu sebagai pendatang dan mendakwa orang India yang paling awal bermastautin di tanah ini, pada 21 Julai 2018.

Kedua, Exco Kerajaan Negeri Selangor, V Ganabatirau mendakwa serangan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield dirancang dan dilakukan orang Melayu-Islam sehingga membangkitkan kemarahan penganut Hindu, lalu mencetuskan rusuhan serta menyebabkan kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada 26 November 2018.

Iklan

Ketiga, kenyataan bersama menteri-menteri PH di Parlimen selepas tuduhan V Ganabatirau, mengkritik dan menyalahkan pihak polis kerana lewat dan gagal mengawal keadaan serangan ke atas Kuil Sri Maha Mariamman Seafield sehingga hakikatnya membakar api perkauman serta menambah kemarahan orang India.

"Perkara ini menyebabkan seramai 10,000 orang berkumpul di Kuil Sri Maha Mariamman pada malam kedua mengamuk dan melakukan rusuhan sehingga berlaku peristiwa kematian Muhammad Adib pada 26 November 2018.

Keempat, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa Agenda Penyatuan Ummah di antara UMNO-Pas adalah pengisytiharan perang terhadap orang bukan Melayu pada 5 Mac 2019.

Kelima, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ngar Kor Ming mendakwa jika UMNO-Pas berjaya bekerjasama dan membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), maka gabungan itu akan membentuk Kerajaan Taliban seperti di Afghanistan pada 8 Mac 2019.

Keenam, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chien Jen bersetuju dan menyokong kenyataan Kor Ming bahawa penyatuan UMNO dan Pas bakal membentuk Kerajaan Taliban sekiranya menang pilihan raya seterusnya telah mencetuskan perasaan takut, rasis dan prejudis dalam kalangan masyarakat bukan Islam terhadap orang Islam di negara ini pada 9 Mac 2019.

Ketujuh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin mengaitkan insiden pembunuhan tragik di sebuah masjid di Christchurch oleh ekstremis kulit putih dengan penyatuan orang Melayu melalui kerjasama UMNO-Pas untuk menambahkan lagi perasaan perkauman dan prejudis agama dalam kalangan rakyat bukan Melayu dan Islam pada 16 Mac 2019.

Kelapan, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi menghina orang Melayu dan cuba membakar kebencian dalam kalangan orang Cina dengan mengaitkan tulisan jawi dengan bahan-bahan pornografi dan lucah (9 Ogos 2019)

Kesembilan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sekali lagi mencetuskan api kebencian dan perkauman dengan mendakwa Kerajaan UMNO dan Pas jika berjaya dibentuk, akan mengambil hak-hak orang bukan Melayu di Malaysia pada 19 Ogos 2019.

Ke-10 ialah kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy yang mendakwa Malaysia bukan sebuah negara moderat progresif Islam seperti disangkakan pihak luar kerana kaum India telah didiskriminasikan dalam pelbagai cara antaranya hak beragama serta pemusnahan kira-kira 10,000 kuil.

"Walaupun ia kenyataan lama, tetapi keangkuhan Waytha Moorthy untuk tidak mahu meminta maaf dan menarik balik kenyataan dibuatnya kepada media luar negara adalah amat tidak bertanggungjawab dan menzahirkan sifat rasis pimpinan PH," ujarnya.