Skandal 1MDB: Najib, 3 lagi mahu tuntut aset, wang disita

Iklan

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiga pihak lagi akan memohon untuk menjadi pihak ketiga bagi menuntut aset dan wang sitaan yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tiga pihak itu ialah isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, 68, bersama dua anak mereka iaitu Nooryana, 31 dan Norashman; Global Royalty Trading SAL dan UMNO.

Iklan
Iklan

Mereka akan memohon untuk menjadi pihak ketiga bagi menuntut aset dan wang yang disita dari Obyu Holdings Sdn Bhd.

Antara yang disita pada 17 Mei 2018 ialah 11,990 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi yang disita pada 31 Januari 2019.

Iklan

Selain itu, sebuah hartanah di sebuah daerah Kuala Lumpur turut disita pada 1 November 2018.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Aaron Chelliah dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu mahkamah bahawa beberapa pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk membuat tuntutan ke atas aset dan wang yang disita daripada Obyu Holdings Sdn Bhd.

Iklan

"Kami (pemohon) mengeluarkan perwartaan notis pihak ketiga pada 23 Ogos lepas dan beberapa pihak hadir ke mahkamah,” katanya pada sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Proses pewartaan notis berkenaan dibuat mengikut Seksyen 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu bahawa anak guamnya berhasrat untuk menuntut sejumlah wang mata wang asing, jam tangan dan pen manakala peguam Azrul Zulkifli Stork yang bertindak bagi pihak Rosmah serta dua anaknya iaitu Nooryana dan Norashman juga mahu menuntut harta-harta yang disita.

Peguam Nurfazreen Hazrina Rahim yang mewakili UMNO berkata, parti itu turut mahu menuntut wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 yang disita.

Firma barangan kemas itu, Global Royalty Trading SAL yang diwakili peguam Datuk David Gurupatham berkata, pihaknya bercadang untuk mendapatkan perkhidmatan pakar perhiasan untuk memeriksa barangan kemas yang disita itu.

Mahkamah menetapkan 31 Oktober untuk mendengar permohonan pihak ketiga itu dan mengarahkan pihak terlibat menfailkan afidavit berhubung permohonan tersebut pada atau sebelum 31 Oktober.

Pihak pendakwaan menfailkan notis pelucutan hak ke atas aset dan wang tunai yang disita dari Obyu Holdings Sdn Bhd dan menamakan syarikat itu sebagai responden. Syarikat itu diwakili peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hisyam Teh Poh Teik.

Sebelum ini Global Royalty mengemukakan saman terhadap Rosmah pada 26 Jun tahun lalu meminta dipulangkan 44 barang kemas yang dihantar kepadanya untuk memilih atau membayar harga kesemua barang berkenaan berjumlah AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta. - Bernama