KUALA LUMPUR - Nama Kerinchi dengan Parlimen Lembah Pantai bukan asing bagi warga ibu kota, bahkan pertukaran nama dari Kerinchi kepada Bangsar South, tidak begitu mengubah cara memperkenalkan di mana terletaknya kawasan itu.
Fatimah Salleh, 63, antara 'orang lama' Kerinchi yang juga mewarisi keturunan orang-orang penting dalam pembukaan kawasan penempatan orang Kerinchi.
Dia berkata, nama asal Kerinchi adalah sempena migrasi bangsa Kerinci, dari Sumatera Indonesia ke Tanah Melayu kira-kira 80 tahun lalu.
"Sekumpulan penduduk kira-kira 10 keluarga dari Kerinci berhijrah ke Kuala Lumpur dengan memasuki Singapura sebelum ke sini.
"Penempatan awal bangsa Kerinci ini adalah di Bukit Nenas sebelum berkembang ke beberapa kawasan termasuk di Pantai Dalam,” katanya.
Fatimah atau mesra dengan panggilan Noriah, merupakan keturunan Haji Abdullah Hukum yang juga suku kaum asal Kerinci.
"Abdullah Hukum juga menjadi salah satu perkampungan yang menempatkan orang Kerinci selepas Bukit Nenas. Selain itu penduduk turut dipecahkan ke kawasan Bukit C, Bukit Kerinchi dan Pantai Dalam.
"Kampung Abdullah Hukum juga pernah tenggelam dek banjir dan sebahagian besar penduduk asal berpindah ke Cheras sebelum kawasan itu kembali jadi penempatan,” katanya.
Lalui proses permodenan
Menurut Ahmad Rahman ,73, atau lebih mesra dipanggil Pak Ajis, dia menjadi antara penduduk yang melihat berkembangnya penduduk Kerinci sehingga membangun kini.
Katanya, ketika awal pembukaan kawasan, aktiviti ekonomi penduduk lebih kepada kebun getah, penanam serai, dan nenas.
"Ia sekitar tahun 50-an ke 60-an sebelum adanya lebuh raya, dan selepas itu kawasan kampung-kampung setinggan mula diganti dengan pembangunan dan melibatkan pemindahan penduduk sehingga sekarang.
"Sehingga kini bangsa Kerinci ada kira-kira empat keturunan,” katanya.
Tambah Pak Ajis, tidak dinafikan pertukaran nama Kerinchi kepada Bangsar South sedikit sebanyak menenggelamkan identiti nama Kerinchi.
"Sebab itu kita mahu kekalkan nama pembangunan semula penempatan penduduk dengan nama Residensi Kerinchi,” katanya.
Residensi Kerinchi merupakan rumah ganti kepada pembangunan semula flat PKNS 4 tingkat dihuni penduduk Kampung Kerinchi.
Ia menjadi satu-satunya penempatan penduduk yang melalui proses pembangunan termoden dari setinggan, flat, kemudian ke apartment.
Sebalik fakta arus pembangunan, Kerinchi juga punya cerita yang boleh dianggap mitos mahupun kisah besar, namun sukar dibuktikan.
Pak Ajis berkata, daripada cerita penduduk dahulu, bangsa Kerinci yang berhijrah bukan sebarangan orang kerana disifatkan mempunyai ‘ilmu’ sendiri yang membuatkan mereka mampu sampai ke Tanah Melayu.
"Dari Kerinci, untuk ke pelabuhan Jambi tempat di mana mereka naik kapal untuk ke Singapura, mereka perlu melalui jalan dalam hutan selama tiga hari tiga malam.
"Semua orang-orang ini digelar ‘berekor’ kerana ada kaitan saka harimau. Dalam hutan macam-macam boleh jumpa. Jika tiada ‘ilmu’ sukar untuk sampai dengan selamat,” katanya.
Kata Pak Ajis lagi, diceritakan juga jika orang itu bidan atau tukang urut tentu dia ada ‘harimau’.
Tanah kubur wakaf khas
Istimewanya waris Kerinci, terdapat tanah perkuburan diwakafkan khas untuk waris yang diuruskan oleh Persatuan Waris Kerinchi Kuala Lumpur.
Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerinchi itu diwakafkan oleh Haji Abdullah Ahmad Al-Kerinchi pada 1937 di Jalan Pantai Murni Pantai Dalam.