KUALA KRAI - Biarpun jari-jemari makin keras sementara matanya kian kabur, warga emas yang mencari rezeki sebagai tukang kasut sejak 35 tahun lalu tidak pernah terfikir untuk bersara dari kerjaya tersebut.
Bukan itu sahaja, dia yang menetap di Machang dan rela berulang-alik lebih 20 kilometer tidak pernah merungut walaupun perlu menempuh perjalanan jauh setiap hari untuk mencari rezeki.
Abdul Aziz Abdullah, 60, berkata, pengalaman lebih tiga dekad menjahit kasut di daerah ini menyebabkan dia kini mempunyai pelanggan tetap.
"Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja kasut yang dihantar pelanggan untuk pakcik jahit.
"Selain kasut, selipar pak cik juga boleh menjahit beg yang rosak," katanya.
Dia yang keluar dari rumah sekitar jam 9 pagi dan pulang antara jam 2 hingga 3 petang memperoleh pendapatan purata sekitar RM80 sehari.
Katanya, dengan upah tersebutlah dia membesarkan lapan anaknya terdiri daripada enam lelaki dan dua perempuan.
"Kini, anak-anak telah meningkat dewasa. Anak bongsu pun dah masuk 16 tahun.
"Disebabkan anak telah bekerja, umur pakcik pun dah meningkat, mereka sering nasihatkan agar bersara daripada kerja menjahit kasut dan duduk di rumah tetapi setelah lebih 35 tahun menjahit kasut, terasa sayang untuk tinggalkan kerja yang telah sebati dengan diri pakcik.
"Jadi, pakcik cakap elok-elok dengan anak dan mereka faham," katanya yang menyediakan perkhidmatan menjahit kasut di persimpangan lampu isyarat berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai.
Katanya, tidak seorang pun anak-anaknya menunjukkan minat menjahit kasut dan dia menghormati minat mereka serta tidak pernah sekalipun memaksa mereka mengikut jejak langkahnya.
"Kebanyakan golongan muda tidak minat jahit kasut, mungkin melihat kerja ini terpaksa memegang kasut terpakai yang pada mereka kotor," katanya.
Bagaimanapun katanya, keadaan itu berbeza dengan dirinya yang menyifatkan satu kepuasan apabila dapat membantu pelanggan menggunakan semula kasut, selipar atau beg yang telah dibaiki.
Katanya, keadaan itu menyebabkan dia lebih bersemangat meneruskan rutinnya walaupun telah menginjak ke usia emas.
Mengulas lanjut katanya, biarpun kerjayanya tidak dipandang tinggi, namun dia puas hati dapat menjadi 'penyelamat' kepada pelanggan-pelanggannya keadaan menyebabkannya tidak pernah terfikir untuk bersara.
"Sekurang-kurangnya pak cik bantu pelanggan untuk berjimat, guna kasut lama, mungkin kasut itu mempunyai nilai tersendiri pada mereka," katanya.
Abdul Aziz berkata, setiap hari dia mampu menjahit lapan pasang kasut dan rutin turut disambung di rumahnya sekiranya menerima banyak tempahan.
Menceritakan detik awal pembabitannya dalam kerja tersebut, warga emas ini berkata, dia mempelajari cara menjahit kasut daripada bapa kawannya.
"Selepas itu, pakcik cuba menjahit sendiri sehinggalah ke hari ini," katanya.