SINTOK - Biarpun berkerusi roda, ia tidak menghalang seorang gadis, Nur Nabilah Shaik Abdul Jalil, 20 yang mendaftar diri di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini untuk mengejar cita-citanya bergelar pensyarah suatu hari nanti.
Beliau yang lumpuh separuh badan akibat masalah tulang belakang adalah antara pelajar terbaik Kolej Tingkatan Enam Sultan Salehuddin, Alor Setar yang memperoleh Nilai Gred Purata Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam STPM.
Menurutnya, kekurangan yang ada pada dirinya bukan halangan untuk beliau berjaya seperti pelajar normal dan berterima kasih kepada UUM kerana menerima dirinya untuk belajar di Kampus Sintok.
"Sehingga kini saya masih lagi menjalani rawatan fisioterapi setiap minggu dan bersyukur kerana UUM membenarkan keluarga saya untuk mengupah seorang pembantu bagi menguruskan diri saya sepanjang tinggal di Inapan Siswa (Inasis).
"Saya bersyukur kerana UUM turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) seperti saya, kemudahan ini akan memudahkan saya belajar seterusnya mengejar impian saya" katanya kepada media selepas pendaftaran Minggu Suaikenal Pelajar Baharu sesi 2019/2020 UUM di Inasis Petronas semalam.
Nur Nabilah ditemani ibu bapanya Shahina Begum Syed Mohamad,48 dan Shaik Abdul Jalil Abu Tahir,51, mendaftar dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Sistem Maklumat.
Beliau yang berasal dari Jalan Stadium, Alor Setar merupakan anak sulung daripada enam beradik menghidapi penyakit Spina Befida sejak lahir lagi namun mula tidak dapat berjalan pada usia 12 tahun selepas melakukan pembedahan.
Nur Nabilah yang juga cemerlang di dalam UPSR dengan memperolehi 5A, PMR (8A) dan SPM (10A 1B) berharap beliau akan lebih aktif dan diberikan peluang di dalam aktiviti kokurikulum sepanjang belajar di UUM.
"Semasa di sekolah dulu, aktiviti agak terhad namun selepas berjaya memasuki universiti saya akan cuba mencabar diri untuk lebih aktif kerana kemudahan yang ada di UUM lebih baik," katanya.
Tambahnya, beliau menasihati mereka yang senasibnya agar tidak malu untuk terus memburu cita-cita bagi membuktikan bahawa mereka juga mampu mengapai impian seperti insan-insan normal yang lain.