KEPALA BATAS - Seorang jurujual berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM21,300 lesap selepas terpedaya dengan sindiket 'Phone Scam' semalam.
Ketua Polis Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian bermula apabila wanita berusia 24 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Pejabat Pos Kuantan, Pahang.
Menurutnya, suspek memberitahu mangsa kononnya barang yang diposnya ke Sabah telah disekat penghantaran keluar.
"Panggilan telefon itu kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuantan dan mangsa telah bercakap dengan seorang anggota polis berpangkat sarjan. Mangsa dimaklumkan berkemungkinan identitinya telah disalah guna.
"Suspek juga memberitahu bahawa waran tangkap di atas nama mangsa telah dikeluarkan yang mana semua harta milik mangsa akan dibekukan. Suspek meminta mangsa tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa kerana mangsa merupakan suspek dan kes masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa juga diminta memberikan semua maklumat akaun simpanan miliknya untuk siasatan dan bagi mengelakkan pembekuan aset.
"Terkejut dan terlalu takut dengan perkara itu, tanpa berfikir panjang mangsa terus membuat pemindahan wang melalui kaunter bank. Mangsa telah mengeluarkan wang miliknya dan memasukkan ke akaun bank yang diberikan suspek.
"Mangsa melakukan tiga transaksi ke dalam tiga akaun bank berlainan berjumlah RM21,300 bermula 16 hingga 25 Ogos lalu. Mangsa diberitahu bahawa kesemua wang tersebut adalah untuk siasatan dan keselamatan mangsa," katanya.
Noorzainy berkata, bagaimanapun mangsa yang berasa curiga dan tertekan telah menceritakan perkara itu kepada rakannya sebelum diberitahu dia telah ditipu sindiket scam lalu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Dalam kes berlainan, seorang kerani mengalami kerugian sehingga RM15,099 kerana terpedaya dengan seorang lelaki yang menyamar sebagai Inspektor Yeoh.
Noorzainy berkata, sebelum itu, wanita berusia 37 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan sebuah bank dari Kuala Lumpur.
Menurutnya, lelaki itu mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit sebanyak RM7,000 yang perlu dilangsaikan.
"Panggilan tersebut kemudiannya disambung kepada Inspektor Yeoh, kononnya pegawai penyiasat dari Bukit Aman. Suspek telah mengarahkan mangsa memberikan maklumat akaun selain jumlah wang yang ada dalam di akaunnya.
"Mangsa juga diminta untuk memberikan kata laluan akaun bank bagi memudahkan siasatan dilakukan. Suspek memberitahu mahu membantu mangsa menyelesaikan masalah tunggakan tersebut dan meminta mangsa merahsiakan perkara tersebut dari pengetahuan orang lain," katanya.
Beliau berkata, mangsa berbual hampir dua jam melalui telefon dan telah menyerahkan dua kali nombor TAC yang diterima melalui telefon bimbitnya kepada suspek.
"Suspek meminta mangsa supaya tidak mengakses sebarang akaun miliknya kerana akan mengganggu siasatan. Namun mangsa yang berasa curiga telah menyemak akaunnya dan mendapati semua wang dalam akaun banknya sudah tiada.
"Yakin dirinya ditipu dan terperangkap dengan sindiket Macau Scam, mangsa membuat laporan polis untuk siasatan lanjut," katanya.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.