Aliff Aziz didakwa curi wang, sekotak rokok serta pemetik api

Iklan
Aliff Aziz (kanan) yang menghadapi dua tuduhan mencuri didakwa di mahkamah. Dia hadir di mahkamah semalam bersama temannya. - Foto Berita Harian Singapura

PENYANYI dan pelakon Aliff Aziz didakwa di mahkamah semalam atas tuduhan mencuri.

Aliff, 28, menghadapi dua tuduhan dan didakwa melakukan kesalahan itu antara Ogos 2018 dengan Jun lalu.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, Aliff didakwa mencuri wang sebanyak SG$300 (RM909) dan 1,000,000 rupiah (RM296) milik seorang individu bernama Raja Yunika Perdhana Putri.

Kejadian itu didakwa berlaku dalam sebuah bilik di Studio M Hotel di 3 Nanson Road antara 12 dengan 3 pagi pada 7 Jun lalu, yang juga hari raya ketiga.

Iklan

Aliff, yang nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, turut menghadapi tuduhan mencuri sekotak rokok dan pemetik api bernilai SG$15.60 (RM47.29) secara keseluruhan milik seorang individu bernama Gurwinder Singh s/o Harwindar Singh di kafe Starbucks di Plaza Singapura.

Kejadian itu didakwa berlaku sekitar 4.45 pagi pada 6 Ogos 2018.

Iklan

Aliff hadir ke mahkamah bersama seorang teman. Menurut laporan Berita Harian Singapura, kes pelakon dan penyanyi itu akan didengar lagi di mahkamah pada 1 Oktober.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin SG$5,000 (RM15,000).

Apabila ditanya Berita Harian, pelantun lagu Sayang Sayang itu berkata, dia kini tinggal bersama keluarganya di Singapura.

Jika didapati bersalah mencuri, Aliff boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan mencuri dalam kediaman pula, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Aliff sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi dari Malaysia, Bella Astillah, 25 tahun, pada September 2016.

Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki bernama Mohamad Ayden Adrean yang kini berumur dua tahun. Namun, Aliff dan Bella, atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, bercerai pada 16 Mei lalu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.