Polis syak mayat mangsa kebakaran berpelukan, bercantum

Iklan

PEKAN - Pihak polis tidak menolak kemungkinan mayat yang masih tidak ditemui dalam kebakaran besar di Sungai Lembing, Sabtu lalu, rentung secara bersama dalam keadaan berpelukan.

Kebarangkalian itu berikutan bomba hanya menemui satu mayat dalam keadaan rentung pada jam 6 pagi selepas lebih empat jam kejadian kebakaran berlaku.

Iklan
Iklan

Pada kejadian 1.30 pagi itu, Ho Yok Fun, 74, dan isterinya Chow Kim Mui, 70, disyaki terperangkap dalam kebakaran dipercayai berpunca daripada kedai dua tingkat yang turut dijadikan rumah pasangan itu.

Bagaimanapun, hanya satu mayat dipercayai wanita ditemukan berdasarkan perhiasan yang dipakai, namun mereka masih menanti keputusan forensik dan ujian DNA bagi mengesahkan identitinya.

Iklan

Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya mengesyaki perkara tersebut selepas mayat kedua masih belum ditemui sehingga operasi ditangguhkan semalam.

"Kita membuat andaian berdasarkan sesuatu keadaan atau situasi panik, mangsa akan duduk berdekatan atau berpelukan kerana ketakutan dan kerana itu kita percaya besar kemungkinan mayat yang dijumpai adalah dua mayat yang bercantum.

Iklan

"Bagaimanapun, kita masih menunggu sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti adakah mayat berkenaan hanya milik seorang individu (isteri) atau berdua (berpelukan dengan suaminya)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pekan baharu, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof dan timbalannya, Deputi Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin.

Abdul Jalil (tengah) menyaksikan serah terima tugas Mohd Razli (kanan) dan timbalannya, Mohd Zaidi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini hari ini.

Menurutnya, polis mengambil masa untuk melakukan pengecaman DNA kerana sedang membuat pengesahan dengan waris terdekat.

Sementara itu, Abd Jalil berkata, identiti tiga mangsa kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran stesen minyak di pekan Mengkuang di Triang, Bera pada 20 Ogos lalu belum dapat dikenal pasti.

"Kita masih belum dapat kesan waris ketiga-tiga mangsa berikutan keadaan mangsa yang rentung. Saya minta mereka yang kehilangan ahli keluarga tampil untuk kita membuat pengecaman terhadap mangsa," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Razli yang telah 38 tahun berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia komited untuk meneruskan usaha membanteras jenayah dengan menumpukan kes jenayah dan dadah.

Mohd Razli yang juga anak kelahiran Rantau, Negeri Sembilan sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang.

"Walaupun keadaan jenayah dan gejala penagihan dadah di daerah ini berada pada tahap tidak membimbangkan, namun saya tetap akan meneruskan usaha yang dilakukan pengurusan sebelum ini.

"Saya memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah di tempat mereka dan bersama-sama untuk menjadikan daerah ini sebagai sifar jenayah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Seorang mangsa kebakaran ditemukan rentung

Kebakaran Sungai Lembing: Tunku Azizah zahir rasa sedih