SHAH ALAM - KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) mencadangkan sensor dipasang pada tong sampah jenis 'leach bin' bagi memastikan tiada longgokan sampah berlaku walaupun kutipan secara berjadual dijalankan.
Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya akan menjalankan perbincangan bersama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berhubung perkara berkenaan.
"Dengan pemasangan sensor, ia akan memberikan maklumat sekiranya tong sampah terbabit penuh. Memang kutipan dilaksanakan mengikut jadual, namun adakalanya akan berlaku longgokan sampah domestik di tong sampah terbabit.
"Jadi dengan adanya alat seperti sensor ini sekali gus memastikan tiada longgokan sampah mencacatkan pemandangan," katanya selepas Sesi Dialog Bajet 2020, Smart Desa Selangor: Bersih dan Sejahtera di sebuah hotel di sini.
Ramli berkata, pihaknya berharap kerajaan Selangor dapat mempertimbangkan cadangan berkenaan dengan menambah peruntukan kepada KDEBWM.
"Penggunaan motosikal roda tiga dan lori Roll On Roll Off (RORO) khusus bagi tujuan pungutan sampah juga perlu diperluaskan ke kawasan yang sukar diakses seperti kampung tradisi.
"Pada masa sama pemasangan kamera litar tertutup di kawasan panas pembuangan sampah haram," katanya.
Menurutnya, kesemua kaedah itu pastinya memerlukan kos dan berharap agar kerajaan negeri dapat memberikan peruntukan supaya ia dapat dilaksanakan," katanya.