PASIR GUDANG - Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Dahlia yang dilaporkan menghidap penyakit Myokimia kesan pencemaran Sungai Kim Kim Mac lalu, Irfan Wafiy Idham Wazir hadir ke sekolah dengan bertongkat untuk menduduki kertas pertama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini.
Irfan yang ditemani ibunya, Norlela Abu Hashim, 45, tiba di sekolah jam 7 pagi kelihatan tenang menuju ke dalam sekolah.
Norlela berkata, anak lelakinya itu memang sering mengadu keletihan akibat kakinya yang kerap menggeletar dengan kuat pada bila-bila masa sejak Julai lalu selepas menjalani salah satu terapi.
"Lepas buat terapi bulan Julai, dia selalu cakap 'penat mama, kaki ni asyik bergegar'. Ada kala kalau dia penat berjalan, daripada kaki menggeletar sampai ke bahagian pinggang.
"Sejak itu dia tak kuat nak jalan sendiri, jadi saya rasa dia kena ada sokongan sebab itu dia pakai tongkat sekarang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di SK Bukit Dahlia hari ini.
Menurutnya, sebagai persiapan akhir sebelum menghadapi UPSR hari ini, Irfan turut tidak terlepas mengikuti kelas-kelas tambahan yang diadakan di sekolah selain mengikuti tuisyen pada waktu malam.
"Setiap hari kelas tambahan habis jam 3 petang dan balik rumah memang kepenatan terus tidur tanpa perlu bergantung kepada ubat.
"Pagi tadi dia bangun 5.30pagi, dia solat sunat serta mengaji sebelum sarapan dan ke sekolah. Ini memang rutin kami sekeluarga untuk musim peperiksaan," katanya yang turut menunaikan solat sunat bersama-sama ibu bapa lain di sekolah pagi tadi.
Pada Aidiladha lalu, Irfan menjalani terapi pasir di pantai Port Dickson ketika pulang beraya sebagai salah satu cara alternatif yang disarankan.
Sementara itu, Guru Besar SK Bukit Dahlia, Mohd Isnin Kassim berkata, sebagai salah sebuah sekolah yang tersenarai dalam 'hotspot' pencemaran, beliau akui semua pihak bersedia atas sebarang kemungkinan sepanjang UPSR berlangsung.
"Ada lima kelas di tingkat satu yang berhawa dingin dan lima lagi bilik biasa. Kita memang sudah bersedia malah kita ada prosedur operasi standard (SOP) sendiri. Untuk kes murid berulang, kita ada sediakan bilik kesihatan di bawah.
"Alhamdulillah 188 murid kita kelihatan sudah bersedia untuk bertempur meskipun pelbagai perkara berlaku sebelum ini," katanya.
Mengenai keadaan Irfan, Mohd Isnin berkata, pihaknya memutuskan untuk menempatkan murid tersebut di kelas pertama bersama ketua pengawas peperiksaan.
"Walaupun nombor giliran peperiksaannya tidak sama tapi kita letakkan dia di kelas paling depan supaya sentiasa di bawah pengawasan berterusan," katanya.
Menurut Mohd Isnin, SK Bukit Dahlia turut melancarkan tabung 'Hope For Irfan' di seluruh sekolah di Pasir Gudang pada 1 September sehingga November ini.
Penolong Pegawai Bahagian Pengurusan Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang, Mohd Jefferin Saat berkata, PPD itu melancarkan tabung untuk Irfan sejak Julai lalu.
Seramai 11,300 murid sekolah rendah Darjah Satu hingga Darjah Lima di 12 sekolah 'hotspot' di Pasir Gudang dicutikan termasuk SK Taman Pasir Putih, SK Tanjung Puteri Resort dan SK Kopok bagi mengelakkan perkara tidak diingini sepanjang ujian berlangsung sehingga 11 September ini.