TEL AVIV - ISRAEL. Serangan udara Israel mengenai kedudukan Hamas di Genting Gaza semalam sebagai serangan balas kepada serangan pertama dari wilayah itu sejak November, kata pihak tentera.
"Serangan helikopter tentera menyasarkan kedudukan tentera Hamas di selatan Genting Gaza,” kata pihak tentera dalam satu kenyataan.
Menurutnya, serangan itu merupakan serangan balas selepas"serangan ke atas Israel” yang dilaporkan oleh media negara itu sebagai serangan roket.
Pemimpin Hamas berkata, pesawat Israel itu menembak dua peluru berpandu yang merosakkan salah satu kedudukan mereka namun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.
Ia merupakan serangan roket pertama dari Gaza sejak gencatan senjata oleh Mesir pada 13 November lalu tamat dan mencetuskan ketegangan di wilayah terbabit sejak peperangan 2014.
Dalam tempoh 48 jam, ratusan roket dan mortar ditembak ke arah Israel, menyebabkan seorang terbunuh dan 27 orang cedera.
Ia susulan daripada serbuan komando Israel yang menyebabkan komander Hamas terbunuh dan enam lagi cedera termasuk seorang pegawai tentera Israel.
Tujuh rakyat Palestin maut dan 26 cedera dalam serangan balas Israel itu sebelum gencatan senjata bermula.
Israel dan Palestin di Gaza terbabit dalam kancah peperangan sejak 2008, dan bantahan besar-besaran di sepanjang sempadan sejak 30 Mac mencetuskan pertempuran dengan tentera Israel.
Ketika bantahan itu, tentera zionis membunuh Karam Fayyad, 26 di timur sempadan bandar Khan Yunis, kata kementerian kesihatan Gaza.
Sekurang-kurangnya 240 warga Palestin terbunuh sejak bantahan itu bermula, kebanyakan mereka oleh tembakan tentera Israel. – AFP