SUNGAI PETANI - Sebanyak 14 kenderaan termasuk sebuah bas kilang terlibat kemalangan di simpang Bandar Amanjaya berdekatan lampu isyarat di sini kira-kira jam 7.55 pagi tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku apabila bas kilang yang dinaiki beberapa pekerja gagal mengawal pergerakan dipercayai akibat kerosakan brek sehingga melanggar sebuah kenderaan di hadapannya.
Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan yang berada di hadapan merempuh kenderaan lain.
Seorang mangsa, Mansor Harun, 50, berkata, ketika kejadian itu, dia sedang dalam perjalanan dari arah Spice Village menghala ke lampu isyarat Jalan Lencongan Timur sebelum menyedari kenderaannya secara tiba-tiba meluncur ke depan.
"Saya dengar bunyi 'booom' dari belakang, dalam sekelip mata kenderaan Perodua Alza saya meluncur ke hadapan dalam kiraan 10 saat, celik mata ja kereta dah remuk," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, kawasan tempat kemalangan yang curam dan berbukit menyebabkan kelajuan bas berkenaan gagal dikawal.
"Akibat masalah brek, bas terbabit meluncur ke hadapan mengakibatkan pelanggaran dengan sebuah kereta di hadapannya.
"Impak daripada pelanggaran itu menyebabkan kesemua kenderaan di hadapan berlanggar sesama sendiri," katanya.
Beliau berkata, terdapat mangsa yang cedera namun belum dikenal pasti jumlah sebenar.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.