NILAI - Meskipun terpaksa bergantung 24 jam dengan mesin bantuan pernafasan, namun kesukaran itu tidak sedikit pun mematahkan semangat Muhammad Ashnawi Azmi, 23, untuk melanjutkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.
Anak kedua daripada tiga beradik itu menghidap penyakit bronchiolitis obliterance atau peparu tidak berfungsi sejak berusia dua tahun menyebabkan hidupnya tidak pernah berenggang dengan alat perubatan berkenaan.
Dia kini antara penuntut baru USIM bagi sesi 2019/2020 dalam program Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa di Fakulti Syariah dan Undang-undang.
"Sukar untuk saya gambarkan perasaan apabila berjaya melanjutkan pengajian di USIM sehingga ibu menitiskan air mata.
"Ini kerana sebelum ini saya pernah memohon untuk melanjutkan pengajian di peringkat Asasi di USIM selepas tamat Sijil Pengajian Malaysia (SPM) tetapi permohonan saya gagal. Sudah tentu peluang kali ini tidak akan dilepaskan walaupun terpaksa bergantung sepanjang masa dengan mesin," katanya.
Pemilik Diploma Syariah dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) itu turut menyifatkan kejayaannya itu adalah berkat doa ibunya Haslinda Hussin.
Sementara itu katanya, setakat ini dia masih menerima rawatan secara berkala setiap tiga bulan sekali di Hospital Serdang dan ia bukan halangan untuknya meneruskan pengajian di USIM.
"Doktor menyarankan saya menggunakan mesin oksigen mudah alih. Sebelum ini saya guna mesin besar tetapi saya bersyukur kini saya guna mesin lebih kecil dan ringan berharga RM18,000 yang disumbangkan Lembaga Zakat Selangor.
"Saya anggap penyakit ini ujian Dia pada saya dan pasti ada hikmah. Saya pernah beberapa kali koma dan paling lama 14 hari tahun lalu yang berlaku ketika saya tidur di rumah. Doktor beritahu ia disebabkan oksigen tidak sampai ke otak,” katanya.
Mengakui pergerakan dan aktivitinya agak terbatas sejak dari kecil, namun dia menjadikannya sebagai motivasi untuk sentiasa melakukan yang terbaik mengikut kemampuan.
"Saya harap dapat menamatkan pengajian yang cemerlang di USIM nanti dan berterima kasih kepada ibu yang banyak berkorban untuk saya selama ini,” katanya.
Seramai 2,566 pelajar baharu termasuk 28 pelajar antarabangsa mendaftar bagi Sarjana Muda Sesi Akademik 2019/2020.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dijangka menyempurnakan Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu esok di Dewan Tuanku Canselor.