Idea bernas bantu pengusaha

Iklan
MESIN pembakar lemang berirama yang turut tular dalam media sosial.

SEJAK dari 1986 lagi, institusi latihan peringkat akar umbi, GiatMara Sdn Bhd (GiatMara) yang merupakan salah satu agendi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) banyak menghasilkan pelatih kemahiran yang berwibawa.

Berdasarkan rekod, GiatMara Jitra (kini dikenali GiatMara Prima Kubang Pasu) yang pertama beroperasi dengan 60 pelatih yang mengikuti kursus elektrik domestik, penerapan bata dan kayu tanggam dan bengkuk besi.

Iklan
Iklan

Selepas menerima sambutan luar biasa, pusat latihan GiatMara ditambah menjadi 231 institusi dengan menawarkan 39 kursus di bawah 12 jenis kluster iaitu mekanikal, seni bina, pengangkutan, pembuatan, percetakan, elektrikal, komputer dan it, fabrik, elektronik/mekatronik, kulinari, dandanan rambut dan solekan serta hospitaliti.

Bermula daripada 60 pelatih, kini GiatMara memiliki seramai lebih 350,000 pelatih yang berjaya dilahirkan dalam tempoh 33 tahun.

Iklan

Bukan sahaja menerapkan latihan kemahiran teknikal dan vokasional, tenaga pengajar institusi milik penuh kerajaan itu turut menekankan elemen inovasi bagi memaksimumkan kemampuan pelatih demi berdepan cabaran revolusi industri 4.0.

Menariknya, inovasi yang dirintis daripada para pelatih diiktiraf dan mampu digunakan oleh golongan sasaran.

Iklan

Kepada e-Trend, tenaga pengajar bidang Teknologi Automotif Giatmara Bachok, Fauzi Zakaria yang ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini berkongsi beberapa ciptaan yang memberi impak positif kepada industri.

SESI demontrasi pemotongan kelapa muda menggunakan mesin coconut yang mempunyai dua fungsi dalam satu-satu masa.

CocoCut

CocoCut yang dirintis oleh Fauzi sendiri menjadi trending dalam media sosial termasuk Youtube apabila mesin pengupas kelapa itu mampu berfungsi hanya dalam tempoh 10 saat.

Menurutnya, idea untuk menciptanya terhasil apabila salah seorang pelatihnya menerima kontrak untuk membekalkan kelapa pandan.

Bagaimanapun, ketika itu timbul masalah untuk memotong dengan cepat dan selamat.

"Kalau guna cara konvensional memang ambil masa lama nak siap. Jadi, saya cuba lihat inovasi luar negara, namun kebanyakannya tidak selamat.

"Atas faktor itu, saya terfikir mahu buat mesin yang boleh mengupas kelapa tua dan pemotong kelapa muda pada masa sama.

"Alhamdulillah mesin yang tercipta ini lebih praktikal dan selamat bahkan mendapat pengiktirafan pingat emas dalam Malaysia Technology Expo: The Invention and Innovation Awards di PWTC baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di Jalan Raja Laut baru-baru ini.

Lebih membanggakan, Fauzi juga menerima pengiktirafan Anugerah Juri Pertandingan Inovasi TVET@Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) 2019 dan menerima geran pembangunan berjumlah RM30,000 selepas terpilih Program Produk Inovasi Mainstreaming Grassroots Innovations (MaGRIs) 2019.

MESIN pembakar lemang berirama yang turut tular dalam media sosial.

Mesin Lemang Berirama

Bercakap mengenai Mesin Lemang Berirama pula, guru otai yang berkhidmat lebih 26 tahun itu tidak menyangka mesin pembakar lemang automatik yang diciptanya mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan pengguna sehingga tidak cukup tangan untuk menjawab panggilan telefon.

"Sebenarnya, mesin lemang itu diciptakan untuk kegunaan peribadi memandangkan setiap tahun, saya akan membakar lemang untuk sanak saudara yang datang bertandang ke rumah sempena Aidilfitri.

"Apabila bakar lemang dengan cara lama, bara api kena selalu jaga dan kena pusingkan buluh ikut sama tertentu supaya lemang masak sekata. Jadi, saya terfikir idea untuk reka struktur mesin pembakar lemang yang boleh berfungsi pusing mengelilingi bara api secara automatik," ujarnya.

Jelas Fauzi, nama 'berirama' diberikan sebab mesin tersebut akan berpusing dan terhentak dengan sendirinya seolah-olah menari.

"Ia bagi memastikan isinya masak sekata dan tak perlu jagaan rapi kerana akan masak dalam tempoh 45 minit sehingga sejam bergantung kepada saiz buluh,” ujarnya.

Melihat perkembangan positif itu, inovasi mesin pembakar lemangnya ditambah baik sehingga boleh memuatkan 24 buluh dan 75 buluh pada satu-satu masa selain mudah dibawa dan digunakan di mana-mana meskipun di ruang sempit.

Menurut Fauzi, nilai tambah yang dibawa oleh reka ciptanya itu ialah tiada pencemaran asap seperti pembakaran secara konvensional. Dalam erti kata lain, lemang boleh dibakar di mana-mana walaupun pengguna duduk rumah pangsa sekalipun.

"Rasanya masih seperti lemang asli sebab menggunakan bara api untuk memasaknya," katanya yang turut aktif menghasilkan beberapa inovasi lain sepanjang lebih 20 tahun berkhidmat.

Usaha pereka itu berbaloi apabila Mesin Lemang Berirama itu berjaya ke peringkat International Invention Innovation and Technology Exhibition Malaysia di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada tahun 2015 dan menerima pengiktirafan pingat emas dan geran penyelidikan RM20,000 daripada Yayasan Inovasi Mara.

SMART Knife and Cutter ciptaan Fauzi.

Smart Knife & Cutter

Lagi satu inovasi yang cukup membanggakan buat Fauzi apabila ciptaan Smart Knife and Cutter turut menerima pengiktirafan pingat perak sempena Malaysia Technology Expo: The Invention and Innovation Awards di PWTC Kuala Lumpur, tahun lepas.

Konsep pisau pemotongnya boleh berubah menjadi sebilah kapak. Pada masa sama, ia boleh dijadikan sebagai alat pengait pelepah kelapa, pembersih pelepah salak dan pencantas dahan yang cukup praktikal.

Menurut Fauzi, mesin pemotong itu cukup ringan dengan hanya seberat 600 gram sahaja selain mudah dibawa ke mana-mana termasuk wanita sekali pun.

"Selain alat ini, terdapat mesin ciptaan pertama iaitu mesin sandblaster yang berfungsi sebagai pencuci jentera termasuk enjin yang berminyak dengan cara lebih murah dan efektif.

"Mesin tersebut hanya menggunakan pasir laut untuk menyerap minyak yang terlekat pada jentera dan saya juga sentiasa menggalakkan pelatih untuk mencuba sesuatu yang baharu bagi memantapkan lagi potensi diri,” katanya yang juga bekas pelatih Institut Kemahiran Mara Jasin, Melaka bagi kursus kaji sawat jentera berat (1989-1991).

FAUZI (kanan) bersama rakannya yang juga tenaga pengajar GiatMara Pasir Puteh, Azhar Ahamad fakry menunjukkan pengiktirafan pingat emas dan perak yang diterima.

Mengulas lanjut mengenai potensi kesemua inovasi GiatMara itu, Fauzi optimis dengan potensi produk ciptaannya mampu dikomersialkan untuk dipasarkan dalam komuniti luar bandar yang memerlukan sekali gus berupaya menjana pendapatan lumayan.

"Sekarang ini masih dalam proses untuk dipatenkan dan dikomersialkan di bawah GiatMara Innovation and Commercialization Centre (GICC) sebelum dikembangkan untuk pasaran luar negara.

"Sudah pastinya kami merancang untuk mempromosikan mesin cococut ini untuk sasaran negara pengeluar kelapa dunia seperti Indonesia, India, Kepulauan Maldives dan Sri Lanka pada masa akan datang," katanya.

Fauzi memberitahu, GiatMara juga kini sedabf menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat konsultan yang berminat untuk mengembangkan potensi produk GiatMara.