TELUK INTAN -"Arwah pernah pesan, apa jadi sekalipun, pelajaran anak-anak perlu diutamakan, pastikan mereka dapat belajar dengan baik," kata Ahmad Ismail, 45, suami kepada seorang wanita hamil yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Langkap-Kampar semalam.
Atas kata itu juga, Ahmad bertegas anak ketiganya, Mohd Haziq, 12, tetap perlu menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini, meskipun masih terkesan dengan kehilangan orang tersayang.
Dia berkata, semalam murid Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Hasan, Changkat Petai itu seakan hilang semangat dan menangis tanpa henti kerana tidak dapat menerima kenyataan pemergian ibunya.
"Saya pujuk dan berikan kata semangat supaya dia dapat fokus jawab soalan periksa, tambahan pula dia adalah murid harapan sekolah.
"Alhamdulillah, pagi tadi nampak dah tenang dan saya harap dia dapat buat yang terbaik, sama sepertimana harapan arwah mahu lihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjung Keramat, Langkap hari ini.
Dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu, Faridah Md Nayen, 38, sedang sarat mengandung 35 minggu meninggal dunia di Hospital Teluk Intan selepas kereta dinaiki bersama tiga yang lain terbabit dalam nahas empat kenderaan.
Kemalangan yang berlaku berhampiran Klinik Desa Tanjung Keramat itu turut mengorbankan pemandu kereta, Fuziyah Sarjuni, 62, dan penumpang, Farah Ain Salim, 29, sementara anak perempuan Farah berusia sembilan bulan mengalami kecederaan.
Ahmad berkata, isterinya yang mengandung anak kelima dijangka bersalin pada 8 Oktober depan dan ketika kejadian arwah yang menumpang kereta jiran dalam perjalanan ke klinik desa untuk membuat pemeriksaan bulanan.
"Arwah dengan dua lagi yang terkorban dalam kemalangan itu memang punya hubungan rapat, kalau nak ke mana-mana pun selalu menaiki kenderaan sama.
"Saya reda dan terima ketentuan takdir, tuhan lebih menyayangi isteri dan anak yang dalam kandungan itu.
"Saya pesan pada anak-anak yang pergi tetap pergi, hidup perlu diteruskan dengan baik demi masa depan mereka," katanya.
Anak sulungnya, Mohd Firdaus, 15, berkata, arwah ibunya seorang yang penyayang, tetapi sentiasa tegas dalam pelajaran.
"Hasrat ibu adalah untuk melihat saya berjaya dalam pelajaran dan arwah sering menasihatkan saya supaya rajin belajar, dia nak saya dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak lama lagi," katanya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Changkat Petai jam 4 pagi tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita hamil antara tiga maut nahas empat kenderaan