Susu getah campur bendasing punca harga murah

Iklan
Gambar hiasan: Getah sekerap yang mengandungi benda asing ditawar harga lebih rendah. (Gambar kecil: Che Aziz, Noh)

JELI - Pekebun kecil dinasihat tidak mencampurkan susu getah dengan benda asing bagi mempercepat proses pembekuan kerana boleh menjejaskan kualiti getah sekerap dihasilkan.

Pembeli Getah Skrub Tender, Che Aziz Che Mood berkata, pekebun kecil sepatutnya menggunakan cuka khas untuk tujuan berkenaan bagi menjamin kualiti dan mutu getah sekerap tersebut.

Iklan
Iklan

"Situasi ini berlanjutan sejak sekian lama dengan alasan untuk cepatkan susu getah beku. Ia bagaikan di warisi dari generasi ke generasi.

"Hakikatnya ia menjejaskan kualiti getah sekerap itu sendiri kerana mengandungi bahan sesuatu yang tak sepatutnya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Iklan

Menurutnya, getah sekerap yang mengandungi benda asing ditawar harga lebih rendah menyebabkan pekebun kecil mengalami kerugian.

"Bila ada benda asing, banyak proses perlu dilakukan kilang pemproses untuk mengasingkannya dan ia melibatkan kos, sebab itu getah sekerap yang ada benda asing ini dibayar murah, sekitar RM1.60 sekilogram, sedangkan yang berkualiti ia boleh capai antara RM2.30 hingga RM2.40 sekilogram," katanya.

Iklan

Seorang lagi pembeli getah sekerap, Noh Yusuff berkata, antara benda asing yang biasa dicampurkan termasuk tata, kulit kayu, plastik, tanah dan tiub motosikal.

"Sebagai pembeli kita melihat situasi ini dan ia sangat merugikan, andaian benda asing bantu percepat proses beku perlu diubah walaupun mungkin agak sukar," katanya.

Noh berkata, jika semua pekebun kecil mempraktikkan cara dan kaedah didedahkan Risda, mereka mampu meraih pendapatan lebih baik hasil daripada getah sekerap yang berkualiti.