KUANTAN - Pihak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Lembing di sini khuatir kehilangan sumber pendapatan tambahan susulan dua premis milik Lembaga Pengurusan Sekolah itu hangus dalam kebakaran pada 31 Ogos lalu.
Guru Besarnya, Wong Wai Cheng berkata, hasil sewaan premis tersebut sebelum ini disalurkan kepada pengurusan sekolah dan keperluan murid.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Pahang tidak mengetepikan kepentingan sekolah itu sebagai pemilik premis jika membuat penstrukturan semula bangunan yang terlibat dalam kebakaran tersebut.
"Sekolah adalah pemilik kedai nombor tiga dan tujuh di North Canton Street. Pada masa ini, pihak sekolah tidak mendapat apa-apa bantuan kerana ia disalur terus kepada penyewa premis.
"Tapi jika kerajaan (Pahang) mahu struktur semula bangunan kami harap kepentingan sekolah tidak diketepikan. SJKC Lembing tidak mendapat bantuan penuh kerajaan, selama ini duit sewa premis itulah yang membantu menjadi dana tambahan sekolah," katanya ketika ditemui media di lokasi kebakaran di pekan Sungai Lembing di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, sebanyak 20 rumah kedai dua tingkat, 11 rumah kongsi setingkat dan sebuah perpustakaan awam berusia 100 tahun musnah.
Sepasang suami isteri warga emas turut dilaporkan terperangkap, bagaimanapun bomba hanya menemukan satu mayat pada 6 pagi hari yang sama di hadapan sebuah unit rumah di situ, sebelum operasi mencari satu lagi mayat dihentikan sementara pada 3.15 petang 1 September ekoran tiada petunjuk baharu.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Sungai Lembing: 30 rumah, dua bangunan selamat