MERDEKAKAH rakyat Malaysia jika masih kekal dengan gelaran penduduk paling ramai obes di Asia sedangkan terlalu banyak lambakan pusat gim yang tumbuh bagai cendawan di negara ini?
Persoalan itu ditimbulkan jurulatih profesional bertauliah, Murad Zaidi yang hairan apabila melihat rata-rata masyarakat negara ini yang masih belum berubah ke arah gaya hidup sihat sedangkan kemudahan terletak di depan mata.
Murad yang juga pemegang Ijazah Sarjana High Performance, Strength and Conditioning Specialist dari Universiti Catolica de Murcia, Sepanyol itu turut membuat kajian sendiri terhadap tingkah laku rakyat Malaysia bagi memahami corak psikologi yang mendorong ke arah obesiti.
"Sebenarnya saya belum pernah merasai isu kegemukan memandangkan dari kecil, saya memang aktif dalam dunia gimnasium dan nak memahami keadaan itu, saya sanggup gemukkan badan sampai cecah lebih 100 kilogram.
"Ramai kata itu kerja gila tapi saya tidak akan tahu dan memahami klien yang kebanyakan mengalami masalah obesiti jika tidak berada betul-betul dalam situasi mereka,” ujarnya.
Selepas merasai fasa kegemukan, anak Malaysia yang dibesarkan di Queens, Amerika Syarikat yang lebih dikenali sebagai Coach Blaze itu tidak menafikan, obesiti boleh membuatkan seseorang itu tertekan dan kemurungan.
Menurutnya, setiap perubahan corak pemakanan dan gaya hidup dicatat bagi menemukan punca yang mendorong tingkah laku obesiti sepanjang sembilan bulan tempoh transformasi fit to fat.
"Akhirnya saya sedar bahawa memang ramai nak kurus tetapi sebenarnya mereka hanya mahukan ‘idea’ untuk kurus sahaja. Sebab itu, pemikiran kena berubah dan dibebaskan untuk gaya hidup lebih sihat.
"Memang mulut cakap nak kurus tapi badan tak bertindak? Adakah anda semua bebas dan ada kesedaran diri? Merdekakah anda daripada ubatan dan kekal sihat?," soalnya.
Atas alasan cukup kukuh itu, Exclusive Fitnesz Shah Alam, katanya, ditubuhkan untuk membantu orang ramai dengan kepakaran jurulatih bertauliah supaya misi untuk kekal sihat dan fit berjaya.
"Tidak dinafikan terlalu ramai ‘jurulatih’ dalam talian yang suka berkongsi petua untuk cepat kurus tetapi jika tiada bimbingan yang bertauliah, bimbang akan mengakibatkan kesan buruk.
"Kesedaran dan kecekalan mental fizikal perlu ada dalam diri supaya misi untuk kurus berjaya," katanya.
Profil
Name: Syed Mohammad Murad
Umur: 32 Tarikh Lahir: 18 Dec 1987
Warganegara: Malaysia (dibesarkan di Queens, New York)
Status: Bujang
Tahap pendidikan:
• Ijazah Sarjana High Performance, Strength & Conditioning Specialist di University Of Catolica De Murcia
• Ifa Certified Personal Trainer Kemahiran:
• Boxing: Coach Jimmy Trupia, Queens New York (2005)
• Tiger Muay Thai: Coach Dang & Halim Songkla, Phuket Thailand (2007)
• Kick Boxing: Coach Michael Passenier, Amsterdam (2014)
• Strength and Conditioning: Coach Milo Sarcev (2015)
Kerjaya:
• Akademi Murad Zaidi membangunkan dan melatih atlet boxing
• Jurulatih strength and conditioning untuk sektor kerajaan, kementerian, kerabat diraja dan selebriti