SHAH ALAM - Kerja-kerja perobohan rumah penduduk yang terlibat dalam projek pelebaran Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir akan ditangguhkan sehingga 16 September ini.
Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa berkata, perkara tersebut diputuskan melalui pertemuan penduduk yang terlibat.
"Keputusan ini dibuat ketika pertemuan bersama penduduk. Penduduk ada nyatakan hasrat supaya mereka diberi masa sehingga Disember ini, namun perkara ini tidak dapat diputuskan.
"Ia berikutan Menteri Besar tiada kerana lawatan kerja ke luar negara, dan kita akan bincangkan perkara ini bersama beliau," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar yang diadakan di luar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Menurutnya, projek pelebaran sungai ini akan tetap diteruskan ekoran projek itu sudah beberapa kali ditangguhkan.
"Projek ini sememangnya diputuskan sudah lama dan ditangguh beberapa kali, pada 2015, 2017 pun tangguh, atas sebab penangguhan itu kerajaan negeri terpaksa membayar pampasan kepada kontraktor yang dilantik.
"Projek ini juga amat penting sebab ia akan bantu menyelesaikan isu berkaitan banjir yang kerap berlaku di Paya Jaras dan untuk itu saya rasa penduduk faham yang mereka tidak boleh duduk lagi di tebing sungai dan perlu berpindah," katanya.
Sivarasa berkata, dari segi pampasan, penduduk yang terlibat akan diberikan tawaran untuk membeli rumah Selangorku.
"Yang mana mereka tidak perlu melalui proses giliran, biasanya kena tunggu lama, dalam soal ini ia tidak perlu," katanya.
Terdahulu, difahamkan hampir 70 buah rumah terlibat dalam projek pelebaran sungai di Paya Jaras Hilir.
Perkara berkenaan mengakibatkan penduduk gusar dan berharap kerajaan negeri dapat membantu mereka.