'Arwah juga kelakar orangnya'

Iklan
Nour Shakini Harun

IPOH - Sepertimana ayahnya, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya yang terkorban selepas terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah pagi tadi, turut dikenali sebagai seorang yang kelakar.

Perkara itu dikongsi kakak iparnya, Nour Shakini Harun, 35, yang menyifatkan Allahyarham mudah mesra dan sama sekali tidak kekok bergaul dalam kalangan keluarga ipar.

Iklan
Iklan

"Sebagai seorang anggota, arwah memang tegas ketika bertugas tetapi dia sebenarnya seorang yang kelakar dan pandai buat jenaka hinggakan kami tak kering gusi kalau bersembang dengannya.

"Sikapnya yang mudah didekati itu membuatkan dia disukai semua ahli keluarga," katanya ketika ditemui di kediaman ibunya di Taman Perpaduan, Ulu Kinta hari ini.

Iklan

Mohd Zahir yang juga anak kepada pelakon dan pelawak terkenal, AR Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada jam 9.28 pagi tadi.

Kejadian melibatkan pegawai komando 11 Rejimen Gerup Gerak Khas berusia 36 tahun itu berlaku ketika melakukan latihan untuk satu persembahan.

Iklan

Nour Shakini berkata, kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham pada 3 Ogos lalu di satu majlis kenduri kahwin sepupu di Sungai Nibong, Pulau Pinang.

"Dia seorang adik ipar yang baik dan amat menghormati kami sekeluarga, walaupun sedih dengan pemergiannya, kami sekeluarga reda dengan kejadian ini," katanya.

Jenazah Mohd Zahir dijangka tiba di rumah ibu mentuanya di sini jam 4 pagi esok dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun selepas solat Subuh.