Lantikan kepimpinan PKR: Perlu ambil kira pandangan pemimpin, sayap parti

Iklan
Datuk Seri Anwar Ibrahim

SHAH ALAM - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengambil kira pandangan pemimpin tertinggi dan sayap-sayap parti dalam proses lantikan barisan kepimpinan PKR.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berpandangan, ia penting kerana hal itu dikhuatiri akan mencetuskan polemik baharu dalam PKR, sekali gus mengganggu pentadbiran dan fokus menteri dari parti itu.

Iklan
Iklan

Katanya, Anwar perlu memikirkan semula keputusan pelantikan pemimpin yang dibuatnya sebelum ini.

"Dalam hal ini, Anwar dilihat seolah-olah menafikan kumpulan (pemimpin) yang menang (dalam Pemilihan PKR baru-baru ini) yang menimbulkan rasa tidak senang di kalangan kepimpinan-kepimpinan yang menang terutamanya Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali).

Iklan

"Sepatutnya, kita harus meraikan kumpulan yang mendapat kepercayaan majoriti dalam pengundi PKR. Meritnya ialah orang yang dapat kepercayaan ahli sendiri. Jadi Anwar harus meraikan meritokrasi dan demokrasi," katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, Anwar dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan tiga individu sebagai Naib Presiden biarpun tewas dalam jawatan yang dipertandingkan Pemilihan PKR lalu.

Iklan

Tiga individu itu adalah bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju.

Selain itu, enam individu dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Bagaimanapun, Mohamed Azmin dan beberapa lagi pemimpin sayap parti menggesa supaya Anwar meneliti semula pelantikan jawatan utama kepimpinan parti.

Sementara itu, Felo Penyelidik Institut Analisis Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berpendapat, Anwar tidak perlu tunduk pada desakan yang menuntut beliau meneliti semula lantikan itu.

Katanya, Anwar mempunyai sebab-sebab tertentu dan menggunakan kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada seseorang presiden untuk melantik sesiapa sahaja yang dirasakan mempunyai 'chemistry' dan pengalaman mengisi jawatan berkenaan.

"Sungguhpun Mohamed Azmin mahu Anwar mempertimbangkan semula pelantikan tersebut, tetapi pada hemat saya, ia merupakan proses normal dalam mana-mana parti politik.

"Akan ada rasa tak puas hati daripada ahli bawahan terhadap keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh presiden dan inilah sebenarnya yang menjadi rencam parti politik itu untuk menjadi lebih matang pada masa akan datang," katanya.

Menurutnya, jika Anwar menurut desakan itu, ia seolah-olah beliau mendedahkan kelemahannya sebagai presiden dan ia sewajarnya tidak berlaku kepada PKR sebagai antara parti terkuat hari ini.